EKONOMISELANGOR

MARA peruntuk lebih RM32 juta, perkasa usahawan wanita Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Amanah Rakyat (MARA) Selangor memperuntukkan lebih RM32 juta setiap tahun bagi keseluruhan ekosistem pembangunan keusahawanan dan modal perniagaan, di negeri itu.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Dato’ Zulfikri Osman berkata, peruntukan itu dibuat melalui penyediaan pelbagai bentuk kemudahan kepada usahawan wanita.

Katanya, hal itu bertepatan dengan peranan MARA sebagai sebuah organisasi pembangunan usahawan bagi membantu melonjakkan potensi perniagaan yang berdaya maju.

“Untuk mereka yang masih berjinak dalam bidang usahawan, kita mengadakan program berbentuk latihan dan perkongsian maklumat mengenai kemudahan yang boleh dibantu, selain program ‘Mentoring’ kepada mereka.

“Manakala usahawan yang sedia ada dan sudah maju dalam bidang ini, kita adakan beberapa siri program untuk membangunkan perniagaan dari aspek membantu menambahbaik produk dan strategi mendapatkan pasaran baharu termasuk dalam dan luar negara.

“Penyediaan bajet peruntukan ini juga bagi kerja penambahbaikan di bangunan atau lot-lot perniagaan dan kilang MARA,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Wanita Inspirasi Ekonomi (WISE), di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Zulfikri berkata, pihaknya turut menawarkan suntikan modal kepada usahawan melalui beberapa skim pinjaman.

Katanya, antara skim disediakan adalah pinjaman mikro, kontraktor mahupun usahawan yang sudah bergiat sehingga ke peringkat global.

“Kita mahu memastikan prestasi perniagaan mereka dapat ditingkatkan, seterusnya membantu mereka meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Jadi, kita mensasarkan hampir 4,000 usahawan menerima manfaat daripada itu setiap tahun,” katanya.

WISE berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 September ini.

Antara pengisian disediakan termasuk perkongsian pengalaman, ilmu dan kepakaran serta tips perniagaan daripada pelbagai personaliti juga tokoh perniagaan ternama.

Selain itu, WISE diisi dengan kluster kegilaan wanita membabitkan empat segmen ‘WOW Crazy Sale’ iaitu Fesyen, Makanan dan Minuman serta kesihatan dan Kecantikan.


Pengarang :