SELANGOR

Masalah teknikal punca LRT Kelana Jaya tergendala

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya tergendala lebih dua jam susulan masalah gangguan isyarat, hari ini.

Berdasar beberapa kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi RapidKL, terdapat masalah pada lampu isyarat dan komunikasi yang berlaku di Stesen LRT Damai ke Stesen LRT Dato Keramat menyebabkan tren tergendala dan bergerak perlahan.

“Kami mengalami masalah isyarat dari Damai ke Dato Keramat. Kerja memindahkan tren yang gagal beroperasi sedang dilakukan. Kami telah menghantar tren yang kosong untuk mengatasi kesesakan di stesen,” menurut petikan kemas kini status RapidKL melalui laman sosial berkenaan.

Insiden yang berlaku pada waktu puncak itu mengakibatkan ribuan pengguna terkandas di beberapa stesen, menyebabkan ada pengguna yang meluahkan rasa kecewa mereka terhadap perkhidmatan berkenaan di laman sosial.

Seorang pengguna, Eeka Syafiqah berkata beliau telah berada dalam tren lebih sejam.

“Faham masalah teknikal memang tidak dapat dijangka but for your case, it kept on repeating.. (tetapi untuk kes anda, ia asyik berulang…) Station Damai asyik rosak kat situ je.. do something la (tolong lakukan sesuatu),” luahnya.

Amy Nursafura pula mencadangkan pengumuman turut dibuat di Monorel dan MRT sekiranya berlaku gangguan perkhidmatan LRT bagi mengelakkan kesesakan.

“To avoid congested in LRT platform, u should also make announcement in Monorel and MRT, so that commuters who’s normally exchange train can use second alternative instead (Untuk mengelakkan kesesakan di platform LRT, anda sepatutnya membuat pengumuman di Monorel dan MRT, bagi membolehkan pengguna komuter yang biasanya menukar tren boleh memilih alternatif kedua),” katanya.

Menurut maklum balas RapidKL, tren kosong telah dihantar untuk meredakan kesesakan di Stesen Setiawangsa selain insiatif diambil untuk mengembalikan bayaran balik tiket pengguna dari pejabat khidmat pelanggan di stesen LRT yang berkenaan.

Perkhidmatan LRT kembali beroperasi seperti biasa kira-kira 10 pagi tadi.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :