EKONOMI

MASPEX 2018 tawar lebih 1,000 hartanah

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Pameran Hartanah Sekunder dan Primer Malaysia (Maspex 2018) akan menawarkan lebih 1,000 hartanah daripada 25 pempamer dalam semua jenis hartanah dan kategori harga kepada pembeli yang berminat.

Pameran itu yang dianjurkan oleh Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), badan nasional yang mewakili pengamal hartanah di Malaysia, akan berlangsung selama tiga hari bermula 28 September dan diadakan di Starling Mall, Damansara Utama, Selangor.

Presiden MIEA Eric Lim berkata Maspex 2018 adalah satu-satunya pameran hartanah di Malaysia yang mempamerkan pelbagai jenis hartanah dalam pasaran sekunder selain hartanah primer, yang baharu dan juga telah siap dibina.

“Kami menganjurkan Maspex 2018 untuk menangani cabaran dalam pasaran hartanah Malaysia dengan berkongsi pengetahuan meluas MIEA dalam hartanah dan amalan terbaiknya bagi membantu semua rakyat Malaysia mendapatkan rumah impian mereka atau pelaburan seterusnya,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengunjung juga boleh mendapatkan nasihat tentang pasaran hartanah daripada ejen dan perunding hartanah semasa pameran itu.

Menurutnya, MIEA juga akan menganjurkan ceramah mengenai pelbagai topik daripada pelaburan hartanah hinggalah kepada berurusan dengan ejen.

Pengerusi Maspex KL 2018 Zamzuri Kamarudin berkata pameran itu dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung berikutan pelbagai jenis hartanah dan harga yang ditawarkan.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :