SELANGOR

MB: ADN perlu rasional cadang peruntukan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 SEPT: Ahli Dewan Negeri Selangor disaran supaya bersikap lebih rasional sebelum mengemukakan sebarang cadangan yang memberi tekanan kepada kewangan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini kerana Kerajaan Negeri ketika ini menanggung perbelanjaan yang besar bagi memastikan pelbagai program berkepentingan rakyat dijalankan.

“Kita juga memberi pengecualian beberapa cukai untuk rakyat tetapi ini bukanlah bermakna Kerajaan Negeri berhasrat mengenakan cukai baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri sebelum ini turut tidak diberikan layanan yang adil oleh Kerajaan Persekutuan di mana Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan dengan jumlah yang tidak wajar.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan Negeri Selangor menerima jumlah peruntukan sewajarnya.

“Walaupun kita ada hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan yang ada hari ini tetapi kita tetap tuntut hak kita,” katanya.


Pengarang :