SELANGOR

MB: Bingkai muafakat bersama, impikan kerjasama kerajaan dan rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 SEPT: Biarpun usia kemerdekaan Malaysia masih muda berbanding negara lain, namun kejayaan itu membingkai muafakat antara masyarakat dari pelbagai kaum, agama dan resam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata resipi terbabit terbukti berjaya dalam perjalanan kita selama 61 tahun ini.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil usaha bersama dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga kini era Malaysia Baharu di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Resipi kejayaan ini harus kita kekalkan dan wariskan kepada generasi masa depan agar keharmonian dan keamanan negara kita kekal terpelihara.

“Sambutan Hari Kebangsaan kali ini tentunya lebih manis dan bermakna hasil dari kesatuan rakyat Malaysia pada tanggal 9 Mei 2018.

“Kejayaan rakyat Malaysia bersatu hati di atas semangat demokrasi berjaya membebaskan diri dari cengkaman kleptrokrat yang korup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian program Anak Anak Malaysia Walk, sebagai simbolik Sambutan Hari Kebangsaan, baru-baru ini.

Amirudin berkata, program Anak Anak Malaysia Walk itu mengingatkannya akan sejarah March on Washington for Jobs and Freedom pada tahun 1963.

Katanya, hampir 300,00 orang berkumpul di Washington DC diketuai oleh Martin Luther King Jr menuntut hak sivil dan ekonomi buat golongan Afrika-Amerika.

“Ini adalah mesej yang sangat bermakna yang harus kita hayati dan warisi. Negara Malaysia mengamalkan prinsip Raja Berpelembagaan dan menghormati perpaduan serta keharmonian antara kaum.

“Prinsip ini harus kita sentiasa hayati dan warisi kepada anak-anak generasi masa depan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau mahu Selangor terus maju dan makmur tanpa menyisihkan sesiapa.

“Tidak ada maknanya jika kita terus mengekalkan status sebagai negeri termaju di Malaysia tetapi masih ada yang tertinggal dan tersisih.

“Saya mengimpikan Selangor sebagai satu ketumbukan yang bersatu dan bersama. Jalinan hubungan akrab di antara kerajaan dan rakyat, saling membantu dan berpadu.

“Saya mengimpikan Selangor sebagai aktor utama rantau Asia Tenggara, menarik pelabur dalam dan luar negara, memberi hasil dan kemakmuran negeri untuk semua rakyatnya serta negeri yang adil dan saksama,” katanya.


Pengarang :