NASIONAL

MB dan Mohamed Azmin hadir Ulang Tahun Kedua PPBM

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hadir memeriahkan Majlis Ulang Tahun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati, di sini.

Majlis itu merupakan ulang tahun PPBM yang ke-2 turut dihadiri Pengerusi PPBM yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah.

Kehadiran beliau disambut dengan iringan ‘Hidup Tun’ oleh ahli parti yang hadir dari seluruh negeri di Malaysia.

Turut hadir meraikan majlis ulangtahun itu adalah Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Terdahulu, Stadium Malawati itu pernah menjadi lokasi kepada pelancaran parti berkenaan buat pertama kalinya.

Berdasarkan kenyataan, PPBM ditubuhkan bertujuan memberikan perhatian kepada reformasi institusi untuk mengembalikan integriti dalam pentadbiran negara.

Selain itu, antara objektif lain adalah untuk mengembalikan semula demokrasi dan kedaulatan undang-undang yang sudah dinafikan dan disalahguna serta berjuang menambah baik prestasi Kerajaan dan memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.


Pengarang :