AGAMABERITA UTAMASELANGORSENI

MB: Hargai perjuangan martabatkan al-Quran, Kesenian Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 30 SEPT: Usaha dijalankan Kompleks Seni Islam Antarabangsa dalam memperjuangkan al-Quran dan as-Sunnah termasuk bidang Kesenian Islam perlu disanjung tinggi serta diberi sokongan semua pihak secara berterusan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu penting bagi memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Selangor, sebaliknya kebaikannya turut dirasai orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa.

Katanya, ia selaras dengan hasrat melahirkan rakyat berilmu, berbudaya, berakhlak mulia, maju dan bersatu padu, sekali gus menyumbang ke arah merealisasi matlamat yang mahu dicapai.

“Pada peringkat awal saya mengandaikan bahawa usaha ini adalah seni biasa seperti dijalankan seniman dan pelukis di tempat lain.

“Bagaimanapun, andaian saya terjawab setelah wakil daripada Yayasan Restu memberikan penjelasan mengenai objektif, aktiviti yang dijalankan dan konsep reka bentuk bangunan kompleks ini.

“Dari situ juga saya memahami bahawa ia bukan usaha biasa seperti ditanggapi secara umum, sebaliknya ia adalah usaha memakmur dan memartabatkan agama melalui seni Islam yang diperkenalkan melalui konsep taman seni tersendiri,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Perasmian Festival Al-Quran dan Kesenian Islam Antarabangsa Selangor 2018, di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di sini, hari ini.

Hadir mengiringi beliau adalah isteri, Masdiana Muhamad; barisan EXCO Kerajaan Negeri dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Dato’ Abdul Latiff Mirasa.

Pada masa sama, Amirudin berkata, seni menjadi elemen penting dalam pembinaan sesuatu budaya memandangkan ia sesuatu yang cantik dan indah.

Katanya, operasi di kompleks berkenaan agak unik dan menggunakan pendekatan berbeza dalam menjalankan kegiatan sebuah muzium.

“Walaupun muzium berperanan sebagai pusat pemeliharaan artifak lama dan bersejarah, tetapi kompleks ini tidak dikhususkan untuk memelihara artifak seni Islam yang lama sahaja, sebaliknya ia memelihara serta menghidupkan budaya lama melalui karya dan rekaan terkni serta relevan dengan keadaan semasa.

“Inilah keistimewaan tempat ini yang menjadi tarikan orang ramai untuk mengunjunginya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kompleks terbabit bakal menjadi salah sebuah pusat utama bagi menjana aktiviti pembinaan budaya dan pusat pemikiran serta pembangunan asas sejarah berguna untuk kemajuan rakyat pada masa hadapan.

Katanya, kompleks berkenaan mampu membawa tarikan pengunjung dan menambah seri di kawasan itu sebagai mercu tanda kepada pembangunan fardu ain serta fardu kifayah di Selangor.


Pengarang :