SELANGOR

MB: Kekal PAKATAN di Balakong, rakyat nikmati hasil negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

BALAKONG, 8 SEPT: Pengundi diminta terus mengekalkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bagi menikmati perkhidmatan Kerajaan Negeri yang peduli rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri ingin meneruskan kebaikan pentadbiran dan perkhidmatan dilaksanakan PAKATAN dinikmati penduduk Balakong serta Selangor, sejak 2008.

“Sejak 2008, orang Balakong dan Selangor berani membuat keputusan dengan menukar pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) kepada PAKATAN.

“BN tinggalkan rezab negeri hanya lebih kurang RM400 juta. Kita laksanakan program air percuma bernilai RM70 juta dan BN kata wang akan habis, memang habis kalau ikut cara BN yang sana sini curi,” katanya pada Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong, di sini, malam tadi.

Pada tahun lalu, beliau berkata, Kerajaan Negeri ditadbir penuh berintegriti itu berjaya mencatat pencapaian kewangan sebanyak RM2.8 bilion.

Katanya, Kerajaan Negeri mampu melaksanakan program bagi menjaga kebajikan rakyat seperti Inisiatif Peduli Rakyat melalui hasil negeri yang berjaya ditingkatkan dengan pentadbiran yang telus.

“Hasil negeri kita pulang kepada rakyat. Contoh hasil pasir di Selangor sebelumnya antara RM3 hingga RM4 juta tetapi di bawah PAKATAN kita uruskan kembali industri itu dan berjaya mendapat RM80 juta setahun.

“Dahulu memang ada hasilnya tetapi ia masuk poket orang lain diam-diam,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat khususnya pengundi DUN Balakong perlu mengekalkan calon PAKATAN, Wong Siew Ki, di DUN berkenaan untuk terus mendapat manfaat daripada Kerajaan Negeri.


Pengarang :