SELANGORSUKANKINI

MB lepaskan 2,000 peserta Velo Fun Ride JKR Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 23 SEPT: Velo Fun Ride Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dilangsungkan di Sepang pagi tadi berjaya menarik kira-kira 2,000 penyertaan yang terdiri daripada pelbagai golongan.

Acara kayuhan dengan objektif utama memperkenalkan jalan-jalan raya di Selangor kepada pengguna jalan raya itu dilepaskan Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di Jalan Kota Warisan.

Acara yang julung kali diadakan itu membabitkan tiga kategori kayuhan iaitu 40 kilometer, 20 kilometer dan ‘Push Bike’ untuk kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun.

Lebih menarik lagi, Amirudin sendiri turut menyertai acara kayuhan itu sambil diiringi Pengarah JKR Selangor, Dato’ Ruslan Abdul Aziz; Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah; Pegawai Daerah, Mohd Yazid Sairi; Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Muhammad Hafiz Shaari dan beberapa kenamaan lain.

Amirudin yang ditemui media sejurus selepas menghabiskan kayuhannya berkata, beliau mengalu-alukan penganjuran acara seumpama ini oleh mana-mana agensi Kerajaan Negeri.

“Ini acara tahunan oleh JKR di mana sebelum ini mereka menganjurkan acara larian dan kali ini buat pertama kali acara kayuhan basikal.

“Saya ucap tahniah kerana acara ini bukan sahaja memperkenalkan JKR kepada masyarakat dengan penyertaan kira-kira 2,000 perserta hari ini tetapi juga untuk mengukuhkan aktiviti sosial dan kesukanan di kalangan komuniti dalamk acara berbasikal,” katanya.

Amirudin berkata, selain merapatkan hubungan agensi Kerajaan Negeri dengan masyarakat, acara ini juga mampu melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas.


Pengarang :