BERITA UTAMASELANGOR

MB mahu mantapkan pembangunan orang asal

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 14 SEPT: Kerajaan Negeri akan memantapkan lagi pembangunan orang asal, di Selangor bagi memastikan kaum berkenaan terus terbela.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sesuai dengan perkembangan baru pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri akan menjalin kolaborasi untuk menambah baik hal itu.

“Pastinya kita akan berbincang apa yang boleh dilakukan untuk memberi nilai tambah kepada keperluan orang asal, di negeri ini.

“Kerajaan Negeri tidak meminggirkan kaum ini kerana mereka sebahagian daripada pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Rumah di bawah Program Baikpulih Rumah, Kampung Orang Asal Bukit Bangkong, di sini.

Pada majlis itu, Amirudin menyerahkan tiga unit rumah kepada tiga penerima bernilai RM50,000 di bawah peruntukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Terdahulu, tiga unit rumah itu dibaik pulih selepas mengalami pelbagai kerosakan dan terbakar.

Sementara itu, penerima Johari Ahmad, 38 berkata penantian selama lapan tahun berakhir apabila rumah yang dinantikan siap sepenuhnya.

“Saya bersyukur dan gembira kerana dapat rumah baru. Sudah sekian lama keluarga dan ibu saya menunggu rumah ini.

“Saya memang berasal dari kampung ini dan rumah sebelum ini juga dalam keadaan sangat daif.

“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada JAKOA dan Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :