SELANGOR

MB main bola sepak, santuni anak muda

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 15 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meluangkan masa mengetuai pasukan Pilihan MB menentang Belia Kampung Bukit Bangkong dalam perlawanan persahabatan bola sepak, sempena Jelajah Maju Bersama ke daerah Sepang, semalam.

Ternyata jadual padat dalam program lawatan itu bukan penghalang untuk Amirudin turun bersama pasukannya menyantuni anak muda di kampung berkenaan dalam perlawanan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rawang, di sini.

Pilihan MB turut disertai Setiausaha Politik Menteri Besar merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah; ADN Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Muhammad Hafiz Shaari.

Bagaimanapun pasukan itu terpaksa akur dengan kekalahan 2-5.

Namun, keputusan perlawanan tidak menjadi ukuran dengan matlamat utama menjalin hubungan akrab antara Dato’ Menteri Besar dan pimpinan Kerajaan Negeri bersama masyarakat tempatan.


Pengarang :