BERITA UTAMASELANGOR

MB: Mesyuarat EXCO akan jelajah seluruh Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 14 SEPT: Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri akan menjelajah di seluruh Selangor bagi menjalin hubungan lebih erat dengan agensi kerajaan di peringkat daerah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jelajah yang dimulakan di Daerah Sepang itu juga memberi peluang untuk beliau mengetahui lebih dekat berkenaan pembangunan dan isu berbangkit di kawasan terbabit.

“Saya juga ambil kesempatan mendengar taklimat diberikan Pejabat Tanah, Majlis Perbandaran Sepang, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan agensi kerajaan lain mengenai status kutipan, pembangunan dan beberapa isu setempat yang timbul atau berlarutan di sini.

“Program seumpama ini akan kita teruskan sama ada setiap bulan atau dua minggu sekali di daerah lain pula mengikut kesesuaian masa, tidak semestinya dihabiskan tahun ini tetapi kemungkinan berlanjutan hingga tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Tanah Dan Daerah Sepang di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pada program turun padang kali ini, beliau akan meluangkan masa meninjau beberapa projek pembangunan infrastruktur.

Antaranya, tapak cadangan Projek Jalan ‘bypass’ Hulu Chuchoh – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tapak cadangan Projek Hospital Daerah Sepang di Sungai Belankan.

Selain itu, Amirudin juga akan menyampaikan sumbangan kepada beberapa institusi Islam di Sepang dan sumbangan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Pada program sehari itu, Amirudin turut menyerahkan Rumah Di Bawah Program Baik Pulih Rumah di Kampung Orang Asal Bukit Bangkong.

Program padat itu juga dipenuhi dengan program bersarapan dengan penjawat awam, solat berjemaah bersama penduduk kampung dan perlawanan bola sepak antara Pasukan Pilihan Menteri Besar Selangor menentang Belia Kampung Bukit Bangkong.

Program itu diakhiri sebelah malam dengan Majlis Kenduri Rakyat di Masjid Al Ulum, Kampung Bangkong.


Pengarang :