SELANGOR

MB & Mohamed Azmin beri penghormatan terakhir

OLEH AFIX REDZUAN

KOTA KEMUNING, 9 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tiba di perkarangan kediaman Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar bagi memberikan penghormatan terakhir.

Mereka tiba sekitar jam 11.30 malam dan menyertai majlis tahlil ringkas dan bacaan Yaasin sebelum meninggalkan kediaman setengah jam kemudian.

Antara kenamaan lain yang hadir adalah Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar; bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa serta bekas ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil dan bekas ADN Bukit Melawati, Jakiran Jakomah.

Abu Hassan disahkan meninggal dunia pada jam 8.05 malam akibat serangan jantung.

Sementara itu, Pegawai Khasnya, Datuk Mohamad Isa Ishak Mohamad Isa berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5, di sini, selepas Zohor, 9 September.

Beliau merupakan Menteri Besar Selangor yang ke-12 dan memimpin negeri ini pada tahun 1997 sehingga 2000 dan juga merupakan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Selangor.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Anak ketiganya Mohd Hasri meninggal dunia pada 2014 akibat serangan jantung di rumahnya.

 


Pengarang :