SELANGOR

MB: Perangi dadah habis-habisan, sedia peruntukan mencukupi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 16 SEPT: Kerajaan Negeri komited untuk menyalurkan peruntukan mencukupi bagi memerangi gejala penyalahgunaan dadah di peringkat sekolah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelaksanaannya dijangka akan bermula pada tahun hadapan.

Malah katanya, gerak kerja ke arah itu sudah dijalankan tahun ini, selepas mengadakan mesyuarat koordinasi membabitkan semua jabatan melalui satu permuafakatan untuk menangani masalah penagihan dadah.

“Kalau dahulu kita agak mudah menghidu sesuatu bentuk dadah itu dengan lebih nyata, tetapi sekarang dengan perkembangan teknologi sedia ada, dadah telah berkembang dan memberi ancaman begitu besar kepada masyarakat.

“Ini perkara yang membimbangkan saya dan melihat kepada keperluan itu saya akan memastikan perkara ini dapat dikekang melalui kerjasama semua pihak termasuk AADK, pihak polis serta warga PEMADAM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Malaysia, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Selangor (PEMADAM) berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengambil langkah ke hadapan dengan menambahbaik sistem sedia ada di peringkat kebangsaan.

“Hal ini kerana fokus kita untuk melawan dadah agak berkurang sejak 10 tahun kebelakangan ini, jadi mulai tahun hadapan kerajaan Negeri akan membuat inisiatif sendiri.

“Sebagai contoh, inisiatif penerangan mengenai dadah selama lima minit sebelum waktu pembelajaran oleh guru dengan panduan daripada kementerian perlu dilaksanakan semula melalui penambahbaikan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut menggesa semua pihak supaya menggerakkan usaha bersama bagi memastikan semua sekolah di Selangor, khususnya bebas daripada pengaruh dadah yang dilihat boleh merosakkan generasi mendatang.

 


Pengarang :