SELANGOR

MB: Perkasa TVET di setiap lapisan usia depani Revolusi Industri 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 SEPT: Semua pihak perlu berperanan secara tuntas bagi terus memperkembangkan Program Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua peringkat usia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pasaran TVET ketika ini bukan lagi menjadi pilihan kedua pelajar yang gagal memasuki universiti tetapi keperluan semasa dalam mendepani Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata, usaha itu perlu diperkenalkan sesuai dengan peringkat usia bermula dari sekolah rendah hingga seterusnya.

“Suasana Malaysia Baru ini dilihat akan meluaskan lagi akses pendidikan di mana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dalam mendokong Dasar Pendidikan Negara.

“Untuk menghadapi revolusi 4.0, Kerajaan Negeri juga berpandangan guru atau pendidik perlu diperkasakan dengan segenap aspek kemahiran untuk menyediakan generasi muda mendepani revolusi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Siri ke tiga, Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019: Pendidikan dan Modal Insan di Hotel Grand Bluewave, di sini.

Amirudin berkata, di Malaysia ketika ini pasaran TVET hanya sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding negara maju lain antaranya German 70:30 (kemahiran:akademik).

“Pengenalan program Coding di sekolah-sekolah merupakan usaha memupuk budaya inovasi dan keusahawaan. Ini dapat melatih dan mengembangkan kemahiran murid menerusi pengaturcaraan komputer dan meningkatkan kreativiti pelajar dalam membangunkan pelbagai bentuk aplikasi.

“Menjadi akar yang penting bagaimana menukar pandangan lama berhubung program kemahiran. Pemilihan bidang kemahiran bukan lagi menjadi pilihan kedua. Kita perlukan tenaga berkualiti yang mampu menyusun kehidupan dengan falsafah dan logik tanpa meninggalkan ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata, Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) perlu diberikan perhatian kerana ia mampu menjadi nadi Kerajaan Negeri dalam melahirkan pelajar atau produk berkualiti negeri ini.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri mahu Yayasan Selangor menjadi penggerak utama bidang pendidikan negeri dari peringkat rendah, menengah dan vokasional.

Terdahulu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai program pendidikan bermula pada 2009 sehingga kini yang mana ianya dimulakan di peringkat tadika sehingga institusi pengajian tinggi.

Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan RM50 juta bagi melaksanakan Program Inisiatif Kemahiran dan Ikhtisas Smart Selangor menerusi bidang kemudahan, pengangkutan termasuk aerospace, bioteknologi, elektrik dan elektronik serta industri makanan dan perindustrian.


Pengarang :