SELANGOR

MB saran MDHS majukan sektor pelancongan

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 28 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memberi saranan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk memajukan lagi sektor pelancongan di daerah berkenaan.

Amirudin berkata, Hulu Selangor mempunyai aset-aset pelancongan yang amat berharga dan berupaya menjadi daya tarikan bukan sahaja kepada pelancong di peringkat tempatan tetapi di peringkat antarabangsa serta serantau.

“Dalam taklimat saya bersama MDHS, saya meminta mereka untuk membuat pelan bagi memajukan lagi bidang pelancongan di daerah ini dan melaksanakan kemudahan sedia ada terutama di kawasan sempadan yang sememangnya menjadi tarikan pelancong.

“Kita sedia maklum bahawa Genting Highland dan Fraser Hills kedua-duanya bersempadan dengan Hulu Selangor jadi kita perlu melaksanakan pembangunan dan pelan untuk memajukan program pelancongan di sini dengan lebih pesat lagi seperti negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Majlis Perasmian Laluan Baru Bas Smart Selangor di Masjid Jamek Ar Rahimah, Kuala Kubu Bharu, di sini.

Amirudin berkata, beliau turut mengingatkan dalam usaha memajukan sektor pelancongan di daerah berkenaan, aspek alam sekitar seperti hutan juga harus terpelihara supaya dapat memastikan kehijauan diperkukuhkan dan dipelihara dengan baik.

“Kemudahan daripada segi fasiliti turut perlu dilaksanakan terutama di kawasan sempadan yang menjadi daya tarikan pelancong,” katanya.

Pada masa sama, mengulas mengenai perasmian laluan baru Bas Smart Selangor, Amirudin berkata, laluan tersebut adalah di kawasan Batang Kali manakala terdahulu adalah Bukit Beruntung dan kemungkinan akan datang laluan baru bakal dibuka iaitu di Sungai Buaya.

Terdahulu, rangka kerja Dato’ Menteri Besar itu diteruskan dengan mengadakan Lawatan Tapak ke Projek Pembesaran Kampung Melayu Rasa, Ampang Pecah.

Beliau turut mengadakan lawatan tapak dalam menangani isu Jalan Missing Link dari Tol Bukit Beruntung ke Persiaran Kuala Kali dan diakhiri dengan Lawatan Tapak Isu Brownfield, di Apartment Trompet, Bukit Beruntung.

Program Jelajah Maju Bersama dilaksanakan bagi mendekati masyarakat luar bandar di seluruh negeri dan meninjau keperluan rakyat tanpa mengambil kira perbezaan agama, bangsa serta fahaman politik.


Pengarang :