SELANGOR

MB umum hasil kajian semula tarif air November

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Kerajaan Negeri akan mengumumkan hasil kajian tarif air negeri itu pada November tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kajian itu dilakukan semula bagi membolehkan Kerajaan Negeri memberi subsidi kepada kumpulan Bawah 40 (B40).

Katanya, keputusan itu akan dibentangkan semasa Belanjawan Negeri 2019 pada November ini.

“Jika tidak (diumumkan) November ini, saya akan mengumumkannya tahun depan, tetapi saya percaya kita memerlukan masa kerana kerajaan perlu memeriksa semua data dan keperluan.

“Air percuma adalah tiang kepada program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), sebab itu tidak mudah untuk menghapus atau mengubahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 (SIBS), Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Amirudin berkata, dalam kajian itu nanti, Kerajaan Negeri akan mengkaji semula tarif dengan teliti dan melihat cara menguruskannya.

Katanya, ia juga bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar bermanfaat terutamanya kepada kumpulan sasaran.

Pada masa sama, beliau berkata, perbelanjaan kerajaan untuk subsidi air juga meningkat dengan ketara sejak program air percuma diperkenalkan pada tahun 2008, berikutan peningkatan jumlah premis di negeri ini.

“Ketika program ini bermula subsidi hanya RM70 juta pada tahun 2008, tetapi kerana bilangan premis meningkat di Selangor, kini jumlahnya mencecah RM200 juta setahun,” katanya.

Sebelum ini, Selangor mahu menilai semula kadar tarif air dan program pemberian air percuma supaya tidak membebankan kerajaan negeri dan pengguna di terlibat.

Bagaimanapun buat masa ini kerajaan negeri berpendirian untuk mengekalkan tarif air serta program pemberian air percuma itu.


Pengarang :