PBTSELANGOR

MBPJ belanja hampir RM1 juta selenggara depoh kereta buruk

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membelanjakan kira-kira RM950,000 bagi menanggung kos semua depoh tunda kereta buruk dan terbiar, di sini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, gara-gara kekurangan kawasan, MBPJ juga terpaksa menyewa sebuah tanah lot di Shah Alam dengan kos RM47,000 sebulan.

“Lebih memburukkan keadaan apabila bilangan kereta buruk dan terbiar di Petaling Jaya semakin bertambah saban tahun menyebabkan kenderaan di depoh semakin banyak.

“Bukannya bayaran sewa tapak sahaja tetapi MBPJ juga terpaksa menanggung kos antaranya kerja penyemburan nyamuk,” katanya dalam sidang media di Depoh Tunda Kenderaan Buruk dan Terbiar MBPJ, di Seksyen 26, hari ini.

Depoh berkeluasan 2.7 hektar itu adalah yang terbesar di negeri ini dengan mempunyai 1,054 kenderaan disita, pada 2017 sementara 863 sudah dilupuskan.

Sze Han berkata, pengurangan tempoh pelupusan akan membolehkan kos penyelenggaraan depoh yang sedia ada disalurkan kepada belanjawan untuk membangunkan Petaling Jaya.

“Bayangkan, jumlah kos sehingga RM1 juta ini terlalu tinggi dan jika tempoh pelupusan disingkatkan, banyak wang dapat dijimatkan sekali gus menjimatkan wang perbelanjaan,” katanya.


Pengarang :