SELANGOR

MBPJ: Kempen Hapuskan Tikus 2018 tumpu pasar awam, medan selera

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 6 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Kempen Hapuskan Tikus 2018 selama dua minggu bermula hari ini sebagai langkah proaktif mengurangkan populasi haiwan perosak itu di sekitar Petaling Jaya.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, Kempen Hapuskan Tikus 2018 akan diadakan di tujuh lokasi pasar awam dan satu lokasi medan selera manakala setiap ekor tikus yang berjaya di tangkap akan di bayar RM 3.00 serta dihapuskan.

“Pemilihan lokasi tersebut adalah berdasarkan potensi untuk haiwan perosak berkenaan membiak kerana persekitarannya yang mudah untuk mendapat bekalan makanan dan sesuai untuk dijadikan tempat bersarang.

“Melalui kempen ini, MBPJ bekerjasama dengan persatuan penjaja dan kontraktor pembersihan pasar bagi menjayakan kempen ini.

“MBPJ juga mengedarkan perangkap tikus kepada para penjaja dan kontraktor. Kempen hapuskan tikus terbuka penyertaannya kepada orang ramai,” katanya pada acara perasmian kempen di Bilik Gerakan Tingkat 1, Ibu Pejabat MBPJ.

Lokasi-lokasi tersebut adalah Pasar Awam Sek 17/1A, Pasar Seri Setia SS9, Pasar Kg Cempaka, Pasar Taman Megah, Kompleks Pasar Taman Dato’ Harun, Pasar Besar Jalan Othman, Pasar Awam Sek.14, dan Taman Selera, Jalan Othman.

Sejak Januari 2018 hingga Ogos 2018, sebanyak 53 aduan berkaitan tikus diterima berbanding 70 aduan bagi tempoh sama bagi tahun lalu.

Manakala, sebanyak 692 ekor tikus berjaya di tangkap dari Januari 2018 hingga Ogos 2018 berbanding 1,345 ekor (2017).

“Walaupun statistik menunjukkan penurunan aduan dan jumlah tikus yang berjaya ditangkap, kempen seperti ini masih perlu diteruskan kerana secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang bahayanya penyakit berjangkit dibawa tikus.

“MBPJ menyeru agar orang ramai sentiasa mementingkan kebersihan di sekitar kawasan perumahan serta premis-premis perniagaan agar haiwan itu tidak membiak sehingga menimbulkan kacau ganggu dan memberikan kesan kepada imej dan ekonomi bandar raya Petaling Jaya,” katanya.


Pengarang :