SELANGOR

MBSA komited jadi bapa angkat kontijen SUKMA

SHAH ALAM, 6 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selaku bapa angkat bagi beberapa acara sukan bagi kontijen Selangor sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 komited memberi kerjasama baik bagi memastikan pasukan negeri cemerlang.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, MBSA dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) menjadi bapa angkat kepada acara sukan Akuatik (Renang danTerjun), Gimnastik dan Gimrama.

“MBSA akan membantu dari segi kemudahan logistik semasa latihan, persediaan semasa kejohanan berlangsung, membantu menyediakan tempat latihan sesuai, membantu menyediakan pengangkutan sepanjang program berlangsung.

“MBSA juga menyediakan peralatan sukan berkaitan dan memberi sumbangan wang tunai serta keperluan lain kepada atlet, pengurus serta jurulatih,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MBSA dalam Majlis Ramah Mesra Sukan Angkat Bersama Datuk Bandar Shah Alam menyerahkan sumbangan berupa peralatan sukan iaitu T-Shirt, beg galas dan wang tunai RM150 seorang kepada para atlet sukan yang akan beraksi di SUKMA Ipoh, Perak.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan turut dihadiri Pegawai Tadbir, Unit Khidmat Pengurusan MSN Selangor, Zawahir bin Mohd Wazir.

“MBSA mempunyai harapan tinggi melalui sumbangan yang diberikan ini dapat memberi motivasi kepada para atlet sukan angkat MBSA sekali gus menunjukkan prestasi yang tinggi dan memberangsangkan sepanjang kejohanan SUKMA berlangsung,” katanya.


Pengarang :