MBSA tawar diskaun kompaun 50 peratus sepanjang Oktober

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan kempen pengurangan kompaun sehingga 50 peratus sepanjang Oktober sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-18.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ia sebagai inisiatif menggalakkan orang ramai menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum sebarang tindakan tegas diambil.

“Jenis-jenis kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus adalah kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisymen Makanan (MBSA) 2007,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, antara kategori lain yang layak mendapat pengurangan kompaun adalah kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

Selain itu, katanya, kompaun tempat letak kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) juga diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal, di semua kaunter pembayaran MBSA.

“MBSA turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam ‘On Wheel’ (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasar raya terpilih.

“Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, dan Pejabat Cawangan Setia Alam,” katanya.

Beliau berkata, bayaran bagi kesalahan tempat letak kereta juga boleh dijelaskan melalui Maybank2U, kaunter Bank Muamalat, kaunter Bank Rakyat dan melalui JomPA semudah memasukkan biller code 6726, nombor kompaun pada ‘ref1’ serta nombor telefon pada ‘ref2’, seterusnya jumlah bayaran.

“Orang ramai yang mempunyai kompaun dinasihatkan mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun masing-masing sebelum tindakan tegas diambil, seperti sekatan urusniaga di kaunter-kaunter MBSA atau membawa tindakan ke mahkamah,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my.


Pengarang :