PBTSELANGOR

MDKL bapa angkat acara Perahu Layar & Bola Baling SUKMA 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 5 SEPT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bakal memikul tanggungjawab sebagai bapa angkat bagi dua acara sukan dipertandingkan di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, tahun ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Yasin Alwi berkata, dua pasukan angkat yang diterima pihaknya adalah acara perahu layar dan bola baling.

Katanya, MDKL menjadi bapa angkat bagi acara perahu layar sejak tahun 2008 dan kali pertama bagi acara bola baling dengan menyenaraikan seramai 46 atlit termasuk 11 pegawai.

“Bagi sukan perahu layar, seramai 18 atlit dan 5 pegawai terlibat, masing-masing sembilan atlit lelaki serta sembilan atlit wanita, manakala bagi pasukan bola baling, seramai 14 atlit lelaki juga 14 atlit wanita selain 6 pegawai terlibat bagi kejohanan kali ini.

“Sebanyak 14 pingat emas yang ditawarkan pada kejohanan pada kali ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pasukan Sukan Angkat Majlis Daerah Kuala Langat Ke Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018, di Hotel Impian Morib, di sini, hari ini.

Mohd Yasin berkata, pihaknya turut memberikan sumbangan kepada kedua-dua pasukan bagi merangsang dan meningkatkan semangat juang atlit.

“Kami akan memperuntukkan sebanyak RM2,300 bagi pasukan perahu layar dan pasukan bola baling sebanyak RM3,500.00.

“Selain memberi suntikan motivasi kepada atlet, sumbangan ini juga melambangkan keprihatinan MDKL terhadap kebajikan atlit yang berjaya mewakili Selangor,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Yasin turut menyuarakan keyakinan terhadap pasukan perahu layar untuk membawa pulang dua pingat emas, memandangkan pasukan Selangor mempunyai rekod memberangsangkan.

Bagaimanapun katanya, acara bola baling juga diyakini dapat membawa pulang satu pingat emas menerusi kategori lelaki.

Terdahulu, SUKMA edisi ke-19 akan berlangsung mulai 12 hingga 22 September ini, dengan menyaksikan Perak selaku tuan rumah penganjuran terbabit.

Edisi kali ini juga bakal menyaksikan 12 Daerah dan 29 Sukan serta 39 Tempat Pertandingan, membabitkan 427 Acara Sukan, selain 2,952 Pingat menjadi taruhan kepada barisan atlit.


Pengarang :