PBTSELANGOR

MDKL jalankan operasi ke atas premis perniagaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 5 SEPT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) komited dalam memastikan pengendali dan penyedia makanan mematuhi segala peraturan serta garis panduan ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, seramai 18 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai jabatan digerakkan bagi melakukan pemeriksaan mengejut ke atas premis perniagaan makanan MDKL di sekitar Pekan Banting, 3 September lalu.

Katanya, sebanyak enam kompaun dikeluarkan Bahagian Kesihatan MDKL terhadap peniaga yang didapati melakukan kesalahan dalam operasi tersebut.

“Antara kesalahan dikenal pasti seperti tidak mendapatkan suntikan imunisasi demam kepialu di bawah Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MDKL (2007) Seksyen 9(1), tidak memakai apron dan penutup kepala di bawah Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MDKL (2007) Seksyen 8 (5).

“Turut dikenalpasti ialah membuang cecair kotoran yang boleh mengganggu aliran ke dalam longkang di bawah Undang-Undang Kecil Establishment Makanan MDKL (2007) Seksyen 19 (1) (d).

“Semua kesalahan ini boleh dikenakan tindakan kompaun maksimum RM1,000 bagi setiap kesalahan dan notis pemberitahuan dikeluarkan kepada peniaga atas kesalahan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat peniaga yang meletakkan kerusi dan meja di kaki lima sehingga menyebabkan halangan.

“Mereka dikenakan notis kesalahan di bawah Akta 133 Jalan, Parit Dan Bangunan 1974, Seksyen 46 (1) (d),” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Zain berkata, buat masa ini operasi yang dijalankan menjurus kepada gerai di bawah bidang kuasa MDKL, bagi menunjukkan kepada umum bahawa tindakan penguatkuasaan dikenakan tidak berbelah bahagi dan membeza-bezakan antara peniaga.

“Operasi ini akan diteruskan dari masa ke masa yang akan melibatkan peniaga makanan di daerah ini, dan mereka yang didapati melakukan kesalahan tetap dikenakan tindakan kompaun atau sebagainya.

“Ia bagi memastikan pengendali dan peniaga makanan di daerah ini dapat menyediakan perkhidmatan yang bersih dan terbaik sejajar dengan misi serta visi MDKL” katanya.

 


Pengarang :