PBTSELANGOR

MDKL sita premis makanan langgar peraturan kebersihan

OLEH AFIX REDZUAN

BANTING, 7 SEPT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyita sebuah premis perniagaan dalam satu operasi, semalam susulan kegagalan mematuhi peraturan kebersihaan penyediaan makanan selepas menerima aduan daripada orang awam.

Serbuan terhadap tiga premis yang diketuai Noor Hayati Ibrahim dilakukan bersama sepasukan anggota Bahagian Kesihatan dan Penguatkuasa MDKL, bermula jam 7 petang itu turut mengeluarkan empat kompaun atas pelbagai kesalahan.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu kebersihan dan penyediaan makanan di daerah itu serta mengingatkan peniaga supaya mematuhi semua syarat seperti yang terkandung dalam kelulusan lesen perniagaan.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, anggota kita mendapati pemilik premis makanan ini menyewakan lot gerai kepada peniaga yang membayar sewa bulanan kepada pemilik berkenaan.

“Tambah mendukacitakan, pemilik premis dan peniaga ini melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memakai apron, penutup kepala dan kasut, tidak menyediakan perangkap makanan hingga menyebabkan sisa makanan serta minyak terus masuk ke dalam longkang.

“Selain itu, peti sejuk penyimpanan makanan rosak, sisa makanan di sekitar premis dibiarkan terbiar dan peralatan makanan disimpan di tempat berhabuk ,” katanya.

Justeru, MDKL mengambil tindakan tegas dengan menutup dan memateri premis itu di bawah Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MDKL) 2007.

Pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan dan penambahbaikan seperti diarahkan.

Dalam operasi sama, kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan tidak menyelenggara premis menjual makanan dalam keadaan baik dan bersih di bawah Seksyen 15, Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan 3 di bawah Seksyen 9 (f), Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 kerana tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu.


Pengarang :