PBTSELANGOR

MDKS roboh kilang ternakan itik haram

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 18 SEPT: Sebuah kilang ternakan itik yang dibina secara haram, di Saujana Utama Sungai Buloh dirobohkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, operasi itu dijalankan ekoran timbulnya pelbagai aduan daripada penduduk berkenaan kilang terbabit.

Katanya, melalui pemeriksaan awal MDKS, terdapat bau yang kurang menyenangkan sehingga penduduk di kawasan sekitar menerima kesan sampingan seperti kegatalan kulit.

“Lebih teruk apabila air kumbahan dari pusat ternakan itu dialirkan secara terus ke bekas lombong berhampiran.

“Hasil semakan MDKS turut mendapati, pihak pengusaha melakukan binaan struktur bangunan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Rahilah berkata, ekoran itu Notis Roboh dan Arahan Mengosongkan Bangunan oleh Jabatan Kawalan Bangunan MDKS dikeluarkan, berkuat kuasa tempoh 30 hari dari tarikh notis bertarikh 19 Julai 2018.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan gagal mematuhi notis, MDKS mengambil tindakan merobohkan kilang ternakan itik itu.

“Operasi berjalan lancar dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor dan Pejabat Veterinar Daerah Kuala Selangor serta Tenaga Nasional Berhad.

“MDKS akan sentiasa memantau kawasan itu dari masa ke masa dan kerjasama orang ramai diperlukan untuk melaporkan segera kepada MDKS jika melihat perkara ini berulang,” katanya.

MDKS turut menasihatkan orang ramai untuk menyalurkan aduan melalui talian 0332891439.

 


Pengarang :