PBTSELANGOR

MDKS sita premis gagal bayar sewa cecah RM15,000

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 27 SEPT: Degil, itulah yang boleh diibaratkan apabila ada di antara penyewa premis milik Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) gagal membayar sewa sehingga mencecah RM15,000.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, notis tuntutan dan sitaan kepada penyewa yang dikeluarkan pihaknya tidak diendahkan penyewa membabitkan tunggakan bayaran antara RM6,000 sehingga RM15,000.

Katanya, MDKS sudah memberi kelonggaran kepada penyewa terbabit dengan membuat bayaran tunggakan secara ansuran.

“Namun, mereka masih gagal memberikan maklum balas dan menjelaskan bayaran ansuran yang dipersetujui bagi mengelak tindakan dikenakan.

“Justeru, MDKS melalui Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta menjalankan operasi sitaan terhadap 15 premis MDKS di Puncak Alam,” katanya dalam kenyataan.

Rahilah berkata, MDKS berhak mengambil tindakan terhadap penyewa yang gagal menjelaskan bayaran sewaan seperti terkandung dalam perjanjian sewaan yang ditandatangani kedua pihak.

Beliau turut menasihatkan penyewa supaya sentiasa peka menjelaskan bayaran sewaan dan MDKS kini sedang memantau beberapa lokasi premisnya yang mempunyai tunggakan untuk diambil tindakan.

“Kegagalan penyewa membayar kadar sewa bulanan akan menyebabkan MDKS kekurangan hasil, sekali gus perancangan untuk menaik taraf bangunan premis tidak dapat dilakukan dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, MDKS turut mengenal pasti penyewa premis yang tidak menjalankan operasi atau menyewakan premis kepada pihak lain.

Jika terbukti bersalah, tindakan pembatalan sewaan akan dikenakan kepada mereka.

Masyarakat digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MDKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 03-32891439.


Pengarang :