SASTERA

Membaiki Atap

Oleh Abdullah Hussaini Mohd Ghazali

 Cuti panjang seminggu aku habiskan di kampung. Emak pun berseorangan di rumah sebab kak long mengerjakan umrah. Di kampung yang sebahagian kawasan masih dilitupi hutan itu, seperti tiada apa-apa aktiviti yang boleh aku lakukan. Talian internet tidak ada dan untuk ke pekan jaraknya sangat jauh.

Setiap pagi aku berjalan kaki sebagai langkah memenuhi hari selain menyihatkan tubuh badan. Dua belah telinga aku sumbat dengan earphone. Aku mendengar lagu. Henfon diletak di dalam poket depan baju panas sambil kedua belah tanganku diseluk ke dalam saku seluar. Cuaca sangat dingin dan kabus memutih bagaikan kapas, menyeruak dari hutan belakang dan keliling. Rumah emak tercatuk sebiji bagaikan sebutir batu di tengah ladam kuda. Rumah penduduk lain berselang agak jauh. Jadi tak banyak orang yang boleh aku temui. Sesekali ada motosikal, kereta atau lori melalui jalan raya yang sepi.

Sudah tiga hari di kampung. Hari itu aku berjalan seperti biasa. Udara kuhirup sangat nyaman. Tapi cuaca dan hawa lebih dingin daripada semalam. Putih kabus tebal mengelubungi kawasan sekitar jalan yang kususuri. Embun menyapu wajah. Aku memakai baju panas yang lebih tebal. Kepala diserkup dengan topi sudu. Kalau aku tidak pakai sebegitu pasti tubuhku menggigil kesejukan. Lagu-lagu dari lis aplikasi Joox menari-nari di telinga. Kepalaku terangguk-angguk sambil mata tetap menjalar ke sana sini. Sampai di satu selekoh tajam, di sebelah kiri, ada sebuah kandang kerbau yang besar. Dulu ia berlumpur hitam dan berbau busuk. Kerbau-kerbau itu akan keluar pada waktu pagi dan dihambat pulang oleh tuannya sebelum senja menghiris petang. Sekarang bila kulihat semula, yang tinggal di kandang itu cuma paku-pakis, dedalu, senduduk dan deduri yang tumbuh, meninggi dan menjalar, memanjat batang buluh yang dibuat galang. Galang itu pula sudah reput dan dimakan anai-anai.

Aku memandang ke sebelah kanan. Di seberang jalan ada sebatang sungai, airnya mengalir laju naik hampir ke tebing dan warnanya keruh. Aku teringat, semalam hujan lebat bagai dituang-tuang. Satu jambatan kayu merentangi sungai itu ke tebing sebelah sana. Dari tebing itu ada denai dan kalau diikuti denai itu sampai ke hujung ada rumah Pak Kadim, pemelihara kerbau di kandang terbiar tadi. Aku tidak ingat bila kali terakhir aku melihat dia. Masih hidupkah dia? Masih sihatkah dia? Aku balik kampung pun cuma setahun sekali ketika hari raya sejak mula kerja di Shah Alam sepuluh tahun lalu.

Pertanyaan aku terjawab. Di sebalik kabus dan pucuk-pucuk hijau yang mengepung denai itu kelihatan susuk seseorang. Kedua-dua tangannya menarik tali. Dia berjalan perlahan. Aku berhenti seketika. Memerhatinya dari jauh untuk melihat batang tubuhnya. Memang betul Pak Kadim. Dia menarik dua ekor lembu. Seekor berwarna coklat cair dan seekor lagi berwarna coklat gelap bertanduk panjang. Dia mengikat tali-tali itu pada tiang elektrik. Selesai mengikatnya dia berpaling ke arah aku dan mengangkat tangan. Aku membalasnya dengan senyuman. Pak Kadim seperti mengatakan sesuatu tapi aku tak mau mencabut earphone.

Aku terus berjalan sehingga beberapa ratus meter ke depan. Kemudian aku melintas dan belok ke kiri. Ada satu bukit yang ketika aku kecil, selalu aku bersama Mazhar dan Ripin mendakinya. Laluan untuk ke bukit itu telah dibersihkan. Ada kesan tayar lori. Jalan sehingga ke puncak juga berbatu. Sedang aku mendaki bukitnya, bahu terasa disentuh dari belakang. Aku berpaling. Ada seorang lelaki bermisai tebal menaiki motosikal, tersengih dan mengatakan sesuatu. Dia tunjuk telinganya. Aku mencabut earphone.

“Sebenarnya tak boleh masuk sini,” kata dia.

“Oh ye ke? Maaf, saya tak tahu. Dah lama tak naik sini. Dulu masa kecil selalu naik ke bukit ni,” balasku.

“Kalau setakat nak bersiar tak apa. Nanti turun balik ye,” kata dia lagi. Aku mengangguk.

Sampai di puncak aku mengambil gambar dan duduk seketika sebelum turun semula. Di kaki bukit itu rupanya ada satu pondok kecil. Tadi aku tidak perasan langsung. Lelaki bermisai duduk menyandar di kerusi di dalam pondok itu. Matanya terkatup rapat.

Sampai di rumah emak menyuruh aku bersarapan. Biasanya selepas sarapan aku akan berkurung di dalam bilik bermain permainan komputer atau menonton drama hingga petang. Selesai bersarapan emak meminta aku membetulkan atap rumah yang pakunya tercabut.

“Tangga ada kat belakang,” kata emak.

“Okey,”

“Kalau ya pun, cabutlah benda kat telinga tu,” aku tersengih dan menanggalkan earphone.

Aku mendapatkan tangga kayu dan sandar pada dinding rumah. Tukul dan paku dalam cebek tersangkut di bahu. Memanjat tangga itu buat hatiku berdebar. Sebenarnya aku tak pernah membaiki atap atau guna tangga itu jadi aku berasa kurang yakin. Kakiku menggeletar kerana kayu tangga seperti melendut. Terasa gayat bila memandang ke bawah. Akhirnya aku berjaya sampai ke bumbung dan memaku semula atap yang tercabut.

Matahari muncul melumurkan cahayanya ke tubuhku. Emak melaung dari bawah bertanya jika aku sudah menyiapkan atap. Aku menjawab ya. Tika itu aku mendengar bunyi jentera berat bertali arus. Aku menoleh ke belakang. Di sebelah timur ada jalan tanah merah, seperti baru disodok. Hangat matahari menghapuskan kabus yang tebal.

Telinga aku jelas mendengar bunyi jentolak dan mesin pemotong balak, meraung-raung membelah kesunyian rumah kami.


Pengarang :