KENYATAAN MEDIA

Meneruskan tradisi membela rakyat

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Alhamdulillahirabbilalamin. Setinggi-tinggi syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi atas kesihatan dan kekuatan untuk hari yang ke-14 hari berkempen, hari ini bagi PRK N32.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada pihak media dan sukarelawan yang masih setia berusaha menyampaikan maklumat yang terbaik kepada masyarakat.

1. Pada peringkat awal perjuangan reformasi, agenda utama perjuangannya ialah untuk menegakkan keadilan dan membela nasib rakyat. Perjuangan ini telah disepakati secara konsensus di kalangan pemimpin, berdasarkan keperluan untuk melihat rakyat khususnya di Selangor dapat menikmati tahap kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

2. Seyogia diingatkan bahawa dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pemilik sebenar bagi sesebuah negara itu adalah rakyat. Begitu juga realitinya yang berlaku di negara ini. Rakyat memegang kuasa, manakala pemimpin pula hanyalah pemegang amanah yang dipilih oleh rakyat berdasarkan tempoh perkhidmatan yang tertentu.

3. Seawal pentadbiran negeri Selangor bertukar tampuk kepemimpinan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR), kerajaan telah memperkenal dan melaksanakan satu program dikenali MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR. Falsafah utama program itu adalah menguruskan hal ehwal pentadbiran dan hasil kerajaan negeri dengan penuh telus dan berintegriti.

Pelan pelaksanaan program Merakyatkan Ekonomi Selangor itu dijayakan oleh pentadbir utama negeri seperti Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) dengan penuh amanah. Hasilnya sungguh memberangsangkan, apabila rizab simpanan kerajaan negeri melonjak secara mendadak daripada RM1.2 billion kepada RM3.6 billion. Peningkatan itu berterusan sehinggalah ke hari ini.

4. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, lebihan hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri dikembalikan semula kepada rakyat untuk dinikmati secara adil. Ia disalurkan dalam bentuk program kebajikan, pendidikan, bantuan perniagaan dan lain-lain yang memberi faedah dan manfaat kepada golongan marhaen. Kini program itu dikenali sebagi program INISIATIF PEDULI RAKYAT (IPR) dan masih mengekalkan objektif dan fungsinya untuk membantu rakyat di negeri ini.

Menariknya IPR yang disediakan untuk rakyat negeri Selangor adalah bermula dari lahirnya seorang anak Selangor; iaitu Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), sehingga ke akhir usianya; iaitu Skim Mesra Usia Emas.

5. Suka saya menyatakan di sini bahawa bagi memastikan kelangsungan kesemua program berkenaan, saya berjanji untuk memberi komitmen di tahap tertinggi bagi memastikan kesemua polisi kerajaan itu dapat berjalan lancar. Ini termasuklah melaksanakan program IPR secara lebih berkesan di DUN SERI SETIA ini.

Saya juga akan memastikan Pusat Khidmat Masyarakat DUN SERI SETIA dapat digembleng secara aktif supaya lebih ramai masyarakat dapat menikmati faedah yang ditawarkan menerusi program dan polisi kerajaan negeri itu.

6. Peranan Pusat Khidmat Masyarakat DUN ini juga akan ditambahbaik menjadi pusat sehenti yang bertindak menjadi pengantara di antara kerajaan dan rakyat.

7. Saya percaya piagam pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang sentiasa mengutamakan hal-hal kebajikan menerusi konsep PEDULI RAKYAT, akan menjadikan negeri ini bertambah maju dan rakyatnya pula akan mencapai tahap kehidupan yang lebih berdaya saing dan cemerlang berbanding era pentadbiran sebelumnya.

8. Sehubungan itu, marilah kita khususnya pengundi DUN SERI SETIA bersama-sama mengukuhkan lagi iltizam untuk terus bersama kerajaan PAKATAN HARAPAN.

Justeru, saya mohon dan merayu satu undi yang dimiliki oleh semua penggundi untuk menggundi Pakatan Harapan pada 8 September ini.

 

HALIMEY BIN ABU BAKAR
No. 1, Calon Pakatan Harapan

Dikeluarkan oleh
Sekretariat Media
Bilik Gerakan Utama PH
PRK N32 Seri Setia

#memacukesejahteraanbandar
#halimey4serisetia


Pengarang :