SASTERA

Mengenang seorang Khalid Salleh

Oleh Hafiz Hamzah

DEWAN di lantai enam bangunan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Ahad itu terasa hening dan sayu, walaupun orang semakin ramai, berbual riuh dan memenuhi ruang berkenaan. Buku Khalid Salleh Di Mata Kami siap dicetak, dan akan dilancarkan. Bersekali dengan itu, teman-teman almarhum berhimpun untuk mengingati dan meraikan susuk yang sudah pergi meninggalkan semua sejak Julai lalu. “Meraikan” kerana bagi ramai orang yang mengenalinya, Khalid Salleh tak pernah pergi sebetulnya.

Saya tidak sempat mengenali beliau secara peribadi, melainkan melalui lakonannya yang ada di dalam beberapa buah filem dan drama TV mungkin — paling utama dari peran-peran yang digalasnya hasil garapan U-Wei Haji Saari. Itu saja sepatutnya sudah cukup untuk membuatkan kita kagum dan menghormatinya.

Disebabkan itu, ia membolehkan saya untuk kekal pada jarak yang sebenarnya sangat saya nikmati; Khalid Salleh pada saya biarlah berada di singgahsana yang tinggi itu, tanpa perlu saya dekati, dan hanya melihat dari jauh dengan rasa cemburu — terhadap bakat dan hasil kerjanya. Kerana itu sudah memadai untuk menjadi cerminan kepada kualiti dan integriti yang dipikul selama ini di dalam setiap apa yang dilakukan oleh susuk ini.

Maka, saya hadir ke ruang itu bukan untuk menyaksikan teman-teman beliau membacakan atau melagukan sajak-sajaknya, tetapi sekadar ingin duduk dan mengutip cerita-cerita personal yang mana tahu akan dikongsikan oleh mereka. Sebuah nostalgia untuk mereka, tetapi itu merupakan maklumat baru yang mungkin berharga untuk saya. Dan, itulah yang saya dapatkan, walaupun tak kira sekecil mana, untuk saya padankan dalam usaha untuk tahu sekelumit tentang peribadi seorang Khalid Salleh.

Sebuah ironi yang akan merangkumkan dengan jelas perjalanan hidup dan kesenimanannya yang tersendiri; beliau bermula dari praktis teaterikal menjual ubat makjun, ia berakhir juga dengan persembahan pusing keliling monolog jual ubat. Ketika lama dulu mendengar cerita-cerita “jual ubat” seorang Khalid Salleh, saya tak pernah membayangkan bahawa ia merupakan pentas awal beliau berlatih dan mengasah ketajaman dalam gerak lakon.

Mana pernah saya yang lahir dari jendela waktu 1980-an sempat menyaksikan itu semua. Yang dapat saya bayangkan bersangkutan hal jual ubat ini hanyalah tentang pergelutan awal seorang seniman untuk berperang dengan asakan hidup di tengah kota Kuala Lumpur. Saya fikir, dalam masa senggangnya di luar waktu jual ubat itu barulah ditumpukan untuk mengerjakan hal-hal kesenian yang juga menjadi sumbu semangat untuk terus hidup bagi mereka yang dapat merasakannya.

Rupanya tidak. Jual ubat ini adalah pentas pertama beliau untuk meluahkan sisi seni lakon dan ucap sastera yang kemudiannya dapat sebahagian kita saksikan — dalam pementasan teater, lakon dalam filem, hasil kerja tulisan seperti sajak dan sebagainya. Jauh lebih penting daripada itu ialah kutipan pelajaran yang diperoleh dari jalanan sepanjang tempoh itu untuk dijadikan pedoman dalam diri. Meminjam kata-kata entah siapa, falsafah yang dikutip dan dibangunkan dari jalanan inilah yang kemudiannya dipersembahkan kembali dalam bentuk yang lebih halus melalui semua kerja-kerja seni yang beliau lakukan selepas itu.

Tetapi, saya lebih ingin mengingati Khalid Salleh kerana lakonan berbanding disiplin-disiplin lain yang beliau kerjakan. Ini gelanggangnya tempat beliau mengasak dengan ketegangan yang tidak dibuat-buat. Saya fikir, kita boleh saja mempertanyakan kembali kecermatan dan ketelitian yang dipamerkan di dalam sajak-sajaknya, atau apa saja kerangka yang terbangun dari sudut pandangnya dalam maksud untuk melihat sejauh mana semua itu benar-benar berbekas.

Tetapi dari sudut lakonan, saya tak fikir kita ada ramai individu yang berhak untuk meragui kecekalan dan kedalaman beliau, apa lagi jika ada mahu menafikan hal itu. Khalid Salleh bagi saya ialah sebuah nyawa lakon tanah ini. Saya tak jemu-jemu mengikuti segala kemarahan dan kekerasan bengkengan Kakang, menontonnya berkali-kali dengan rasa puas. Begitu juga saya kerap datang semula kepada Mamat, untuk melihat keterasingan jiwa di persempadanan dua negara — yang masih juga berurusan dengan sikap baran dan keras kepala; sesuatu yang agaknya kental menyelubungi Melayu dalam maksud psyche atau jiwa dimuncung tradisi.

Salah satu hal yang mengikat saya untuk selalu tidak berasa kecewa dengan watak-watak yang disandangnya adalah kerana kecekapan serta kebolehan beliau membawa nyawa bahasa dalam loghat yang berbeza-beza dengan begitu cermat dan sebati. Di dalam Kaki Bakar, dia seorang Jawa dengan lidah yang pekat. Di dalam Jogho pula dia membawa lidah Kelantan atau Selatan Thai, juga tanpa rasa canggung.

Kemudian baru saya ketahui, daripada catatan yang ada di dalam buku untuk memperingati beliau itu, Khalid Salleh memang menguasai banyak lenggok bahasa dan loghat dari rumpun gugus Nusantara. Jika rantau ini menjadi gelanggang, Khalid Salleh adalah jiwa universal tempat semua keghairahan bahasa itu bertembung. Diri dan jiwanya barangkali tak terpisah oleh batas sempadan negeri-negeri di daerah ini; dia menjadi warga yang sah bagi kesemuanya.

Seni lakon jugalah yang membawa namanya ke tahap yang paling tinggi pernah dicapai; beliau menjadi pelakon kedua Malaysia yang diangkat dan dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik tahun 1998 melalui filem Jogho. Yang pertama merangkul gelar yang sama? Mana ada lain lagi kecuali P. Ramlee yang menerima pengiktirafan serupa 41 tahun sebelum itu, pada tahun 1957 melalui filem Anakku Sazali.

Mungkin hanya kebetulan, tetapi dua tahun Malaysia diwakilkan oleh kedua-dua tokoh ini seperti membawa bacaan tersirat yang lain. 1957, Tanah Melayu merdeka, manakala 1998 politik Malaysia bergolak. Secara main-main, saya suka mengingati peristiwa ini sebagai tanda isyarat bahawa hal-hal kesenian tidak pernah terpisah sepenuhnya daripada pergeseran di gelanggang sosial yang nyata. Bezanya antara kedua-duanya, seni hadir sebagai sebuah pesan halus.

Banyak lagi sisi susuk ini boleh kita ditemukan di dalam buku Khalid Salleh Di Mata Kami. Terkandung di dalamnya ialah 37 tulisan — kebanyakannya catatan-catatan ringkas — daripada individu berbeza yang rata-ratanya mengenali beliau secara peribadi. Al-Fatihah.


Pengarang :