SASTERA

Mengira Marmar di Lantai

Oleh Aliaa Alina

Mereka memanggilnya sebagai Pengira Marmar. Hal ini kerana dia hanya tahu dan peduli untuk mengira marmar sahaja. Dia sentiasa ada di laluan bermarmar putih gading, sedang mengira satu per satu kepingan marmar yang ada di lantai itu.

Dia tidak kisah tentang perkara yang berlaku di sekelilingnya. Malah, ketika sepasang suami isteri dipukul dan dirompak di hadapannya pun, dia tidak cuba untuk membantu atau menghalang perbuatan itu.

Dia tidak bermaksud untuk menyokong tindakan jenayah cuma dia hanya berminat untuk mengira marmar yang ada. Pada mulanya hanya dia sahaja sebagai Pengira Marmar namun semakin hari semakin ramai yang turut serta mengira marmar di lantai itu.

Daripada belasan orang, meningkat kepada puluhan dan ratusan, dan lama-kelamaan ribuan orang berkumpul di laluan itu untuk mengira marmar yang ada.

Semua Pengira Marmar bersikap seperti Pengira Marmar Satu iaitu mereka tidak mahu terlibat dengan hal-hal yang terjadi di negara itu. Malah ketika kecoh satu dunia bahawa meteorit akan menghentam bumi, semua Pengira Marmar tetap menunduk memandang ke lantai.

Pada hari dunia diramalkan akan musnah, seluruh manusia berkumpul di hadapan sebuah bunker yang dibina sebagai tempat perlindungan terakhir untuk umat manusia. Hanya sebuah bunker sahaja yang mampu dibina kerana besi yang kebal dan mampu menahan kesan hentaman dan suhu yang tinggi terlalu sedikit sumbernya.

Boleh jadi juga besi itu sudah disorok oleh orang tertentu untuk kepentingan tertentu tapi itu suatu teori yang tak dapat disahkan kebenarannya.

Terdapat dua kaum yang mendiami negara iaitu Kaum Satu dan Kaum Dua.

Kedua-dua kaum itu bertembung di hadapan bunker tersebut dan masing-masing mahu masuk ke dalam bunker. Namun malangnya, luas bunker tidak mampu menampung jumlah keseluruhan bagi kedua-dua kaum itu.

Kaum Satu dan Kaum Dua mahu berperang secara fizikal namun ada halangan di antara mereka iaitu manusia-manusia yang sedang mengira marmar di lantai. Pengira-Pengira Marmar itu tidak mahu berganjak walau seinci pun kerana mereka tidak mahu tersilap mengira bilangan marmar yang ada.

Akhirnya kaum-kaum itu hanya mampu berperang mulut sahaja.

“Kami kaum yang hak. Kamu semua kaum yang bebas, pendosa! Kami yang patut masuk ke dalam bunker itu!” jerit wakil Kaum Satu.

“Memang kami kaum yang bebas, tapi kaum kami yang membina bunker ni. Kaum kamu hanya tahu sembang pasal konspirasi tak habis-habis!” bidas wakil Kaum Dua.

“Sudahlah, jangan bergaduh,” ujar salah seorang Pengira Marmar kerana risau melihat mereka membuang masa sedangkan bala semakin mendekat.

“Kalau tidak mahu mengalah sangat, berilah keutamaan kepada anak kecil dan warga emas,” cadangnya kepada mereka.

“Nak bagi kat warga emas buat apa, mereka bukan lama sangat boleh hidup,” suatu suara membangkang namun tidak diketahui dari mana puncanya. Kaum Satu dan Kaum Dua terdiam, tidak menidakkan atau menyokong kata-kata itu. Masing-masing telan air liur sahaja.

“Kalau macam tu bagilah budak-budak masuk dulu, lepas tu barulah pilih siapa pula patut masuk,” ujar Pengira Marmar itu lagi. Pengira Marmar Satu menarik lengannya supaya pergi menjauhi urusan kaum-kaum itu.

“Kamu tak perlu masuk campur. Biarlah mereka dengan hal mereka, kita ni seeloknya mengira marmar yang ada supaya kalau mati pun puas hati.  Sebab akhirnya kita tahu berapa bilangan marmar yang ada di lantai ini,” nasihat Pengira Marmar Satu.

Kaum Satu dan Kaum Dua bersetuju dengan cadangan Pengira Marmar itu. Kanak-kanak dibariskan lalu pintu bunker dibuka. Seorang lelaki separuh abad berlari menuju ke arah salah seorang kanak-kanak perempuan itu.

“Dia isteri aku. Kalau aku tak boleh ikut, maknanya dia akan duduk disini bersama aku. Aku suami dia jadi aku ada hak ke atas dia,” ujar lelaki itu lalu menarik tangan budak perempuan itu keluar daripada barisan kanak-kanak.

Lalu lelaki berusia itu menyusup masuk ke dalam kalangan Kaum Satu bersama isterinya.

“Pedofilia! Mengaku hak tapi dengan budak pun kau lapar. Semua nak puaskan nafsu pakai agama!” jerit wakil Kaum Dua lalu meludah ke lantai kerana terlalu jijik dengan tindakan lelaki itu.

“Woi, cakap elok-elok sikit. Dia seorang je yang gatal nak menikah dengan budak. Yang kau pukul sama rata dengan semua orang dah kenapa?” balas wakil Kaum Satu yang sakit hati mendengar tuduhan itu.

“Kamu kata kamu kaum yang hak tapi kamu masih benarkan Si Pedofilia berkeliaran dalam kalangan kamu. Mana hak yang kamu asyik canangkan tu?” soal wakil Kaum Dua lalu dibalas dengan sorakan liar daripada penyokongnya.

“Sudahlah kamu. Yang hak itu tetap hak dan yang salah tetap salah. Titik,” balas wakil Kaum Satu kembali dan diraikan dengan tepukan daripada kaumnya.

“Itu sahaja yang kamu mampu balas kembali, wahai Kaum Satu? Memalukan, sungguh memalukan,” ujar wakil Kaum Dua yang kecewa mendengar hujah yang keluar dari mulut wakil Kaum Satu.

Belum sempat wakil Kaum Satu membalas kembali kritikan itu, langit biru bertukar menjadi merah dengan nyalaan api daripada meteorit sehingga bahangnya terasa oleh seluruh kaum.

Kedua-dua kaum itu berebut mahu berlindung di dalam bunker namun sudah dikunci rapat  oleh kanak-kanak yang ada di dalamnya. Jeritan meminta pertolongan daripada kedua-dua kaum tidak dihiraukan oleh kanak-kanak tersebut kerana mereka tahu mustahil untuk semua orang dapat masuk ke dalamnya.

Lagipun kalau kaum-kaum itu hidup pun hanya tahu bergaduh sahaja, fikir kanak-kanak itu.

Seluruh manusia bertempiaran lari untuk mencari tempat perlindungan terakhir. Ada yang menangis, ada yang pengsan dan ada yang reda menerima kedatangan bala bencana itu.

Semua Pengira Marmar ketawa lucu hati melihat gelagat kedua-dua kaum itu yang sibuk bertengkar sehingga mengabaikan nyawa mereka sendiri.  Pengira Marmar tidak peduli dengan tiupan angin kencang atau nyalaan api yang sangat panas tidak terperi. Mereka semua menunduk memandang ke marmar dengan penuh khusyuk.

Malah, dikhabarkan bahawa di saat meteorit itu memusnahkan semua makhluk yang ada di muka bumi ini, mereka semua masih lagi mengira marmar di lantai itu.


Pengarang :