SELANGOR

Michelle anjur forum kesihatan mental atasi gejala bunuh diri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 20 SEPT: Kesihatan mental merupakan aspek yang sangat penting bagi mengatasi kejadian membunuh diri khasnya membabitkan golongan pelajar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, hal ini kerana statistik antara Mei hingga Ogos 2018 menunjukkan sebanyak empat kes bunuh diri atau percubaan bunuh diri telah dicatatkan di Subang Jaya.

“Secara puratanya satu kes setiap bulan dan sebab di Subang Jaya kes bunuh diri dan percubaan bunuh diri tinggi kerana di sini banyak universiti.

“Tekanan belajar amatlah tinggi dan ada juga kes pelajar gagal sesuaikan diri dengan persekitaran baru di tempat belajar, sebab itulah bilangan kes tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Forum Kesihatan Mental & Polisi Pencegahan Bunuh Diri di Universiti Sunway di sini, malam tadi.

Michelle berkata, beliau akan mengambil langkah proaktif bagi membendung gejala bunuh diri dalam kalangan pelajar di Subang Jaya.

Katanya, antara langkah yang akan diambil seperti mengadakan kursus kesihatan mental di sekolah-sekolah.

Katanya lagi, selain mengadakan kursus di sekolah, beliau turut menggesa masyarakat setempat memainkan peranan masing-masing menerusi rukun tetangga, persatuan penduduk dan lain-lain.

Sementara itu, forum yang dianjurkan malam tadi mendapat sambutan menggalakkan apabila dewan universiti itu dipenuhi kira-kira 500 hadirin.

Selain beliau yang bertindak sebagai moderator, forum itu turut membariskan panelis, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Psikatris Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Stephen Thevanan Jambunathan dan Psikatris Pusat Perubatan Sunway, Dr Khoo Yee Laim.

Selain itu turut bertindak sebagai penalis, Ketua Polis USJ 8, ASP Tuan Jasni Zolpa; Ketua Polis Bandar Sunway, ASP Tuan Sulaiman Baputy dan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, TPgB Tuan Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman.


Pengarang :