SELANGOR

MOA galak Selangor tingkat agropelancongan Pulau Ketam

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 28 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menggalakkan Kerajaan Negeri untuk bersama bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan sektor agropelancongan Pulau Ketam.

Timbalan Menteri MOA, Sim Tze Tzin berkata, agropelancongan amat penting kerana ia dapat meningkatkan pendapatan kawasan setempat.

“Saya lihat pasaran di sini cukup besar dan sekiranya dibangunkan lagi, pendapatan penduduk di kawasan setempat dapat ditingkatkan.

“Memandangkan jarak Kuala Lumpur ke Klang hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit, jadi saya amat menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak ke Pulau Ketam supaya mereka lebih terdedah dengan aktiviti agropelancongan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Ketam, di sini, semalam.

Pada masa sama, Tze Tzin turut mengumumkan pihaknya menyerahkan RM30,000 bagi membantu memulihkan infrastruktur Pulau Ketam supaya sektor agropelancongan dapat ditingkatkan.

“Saya optimis Kerajaan Negeri dapat meluangkan masa bersama membantu sektor agropelancongan sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke sini,” katanya.


Pengarang :