NASIONAL

Mohamed Azmin: Yang pertikai kesetiaan pernah lari, saya tetap bersama KEADILAN

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 2 SEPT: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali membidas pihak yang mempertikaikan kesetiaan beliau kepada KEADILAN sedangkan tidak pernah berganjak sejak 20 tahun lalu.

Katanya, sejarah reformasi itu boleh difahami menerusi pembacaan dan mendengar sendiri kisah itu dari pihak yang mencipta sejarah reformasi.

“Muafakat itu penting bagi menjayakan agenda reformasi. Jangan ada pihak cuba memecah belahkan perpaduan kita.

“Jaga adab, disiplin, mesti bermoral dan etika,” katanya ketika Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Perdana Negeri Selangor 2018; Membingkai Muafakat, Melaksana Reformasi di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya, Selangor membuktikan muafakat KEADILAN yang hebat di semua peringkat termasuk kejayaan memenangi semua 20 kerusi ditandingi pada pilihan raya lalu.

Menyingkap perjuangan 20 tahun lalu beliau berkata, ada antara warga parti yang melarikan diri ke Australia, Jakarta dan London namun hanya kembali selepas keadaan reda.

Katanya, sepanjang memegang amanah, beliau melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.

Ini dibuktikan menerusi pengenalan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menjadi bahan kempen di seluruh negara dan berjaya menarik minat rakyat sehingga memberikan sokongan kepada KEADILAN.

 


Pengarang :