SELANGOR

MPAJ pasang perangkap monyet, babi hutan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 12 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memasang perangkap monyet dan babi hutan di Padang Melur Fasa Dua dan Tiga, di sini, bagi mengurangkan gangguan hidupan liar terbabit.

Ahli Majlisnya, Mohamad Samat berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu bersama Pejabat Ahli Dewan Negeri Teratai, Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPAJ Zon 23 dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (PERHILITAN).

Katanya, sebanyak lapan ekor monyet dan lima ekor babi hutan berjaya ditangkap selepas sangkar itu diletakkan sejak pertengahan bulan lalu.

“Sebuah perangkap babi hutan dipasang di hadapan Surau At-Taqwa, Taman Saga. Walaupun masih kelihatan beberapa monyet berkeliaran tetapi haiwan berkenaan tidak menceroboh kediaman atau surau seperti yang berlaku sebelum ini.

“Babi hutan merosakkan tanaman dan tong sampah penduduk juga tidak kelihatan lagi,” katanya dalam kenyataan.

Sebelumnya, terdapat laporan dibuat berhubung gangguan monyet dan babi hutan sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk di sekitar Taman Melur dan Taman Saga.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Samat turut meluahkan sedikit rasa kesal terhadap tindakan masyarakat yang didakwa melepaskan monyet liar daripada sangkar dipasang di kawasan perumahan terbabit.

Katanya, sikap segelintir masyarakat mengganggu kegiatan penangkapan haiwan liar ini disifatkan sebagai kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas.

“Saya berharap penduduk dapat bersama membantu bagi melancarkan proses tangkapan haiwan liar ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.


Pengarang :