SELANGOR

MPSepang pelawa jayakan Pertandingan Penjimatan Tenaga Elektrik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEPANG, 6 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Teknologi Hijau Selangor menganjurkan Pertandingan Penjimatan Tenaga Elektrik dan Air, bermula Julai hingga 10 Disember ini.

Mengetengahkan tema ‘Ke Arah Membangunkan Kediaman Teknologi Hijau, Komuniti Pintar dan Rendah Karbon’, semua penduduk di kawasan pentadbiran MPSepang dialu-alukan untuk turut serta dalam pertandingan berkenaan.

Penolong Pengarah Jabatan Perancangan Bandar MPS, Mohd Adham Mahmood berkata, pertandingan itu merupakan medium memperkenalkan penghuni kediaman ke arah gaya hidup lebih baik, melalui amalan penjimatan dan penggunaan teknologi hijau dalam kehidupan seharian.

Katanya, melalui program terbabit, menjadi satu cabaran terhadap penghuni kediaman membuktikan penjimatan melalui amalan dalam melakukan aktiviti rutin di rumah, selain menggunakan aplikasi teknologi sebagai elemen nilai tambah untuk penjimatan.

“Dengan ini, ia akan dapat meningkatkan tahap kesedaran dan membangunkan komuniti rendah karbon dalam kalangan penduduk Sepang, sekali gus meminimumkan kadar pelepasan karbon untuk memelihara alam sekitar.

“Pada masa sama, ia memberikan pengiktirafan kepada mereka yang melaksanakan amalan penjimatan tenaga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setiap pemilik kediaman boleh menghantar satu penyertaan dan satu kategori kediaman sama ada rumah sesebuah, rumah berkembar, rumah teres atau berbilang tingkat seperti pangsapuri, kondominium, apartmen serta flat sahaja.

“Penyertaan ini memerlukan maklumat bil elektrik dan air bagi bulan Julai hingga November 2018. Peserta perlu mengisi maklumat lengkap dalam borang disertakan sama ada secara manual atau talian (online).

“Bagaimanapun, pemohon digalakkan mengemukakan permohonanan secara online dan permohonan yang telah dihantar masih boleh dipinda sehingga 15 Disember, serta perlu mengemukakan dokumen seperti Salinan Kad Pengenalan, Bil Elektrik dan Bil Air (Julai hingga November), bersama borang penyertaan,” katanya.

Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 berserta sijil penyertaan dan ‘plaque’, manakala bagi tempat kedua dan ketiga masing-masing turut menerima RM 800 dan RM 600 berserta sijil juga ‘plaque.

Mereka berminat boleh mengakses dan memuat turun borang penyertaan di pautan http://www.mpsepang.gov.my atau http://smart.mpsepang.gov.my.

Sebarang pertanyaan berhubung pertandingan itu, orang ramai juga boleh menghubungi Adham Mahmood di talian (03-83190373) atau Norhedawati Zainuddin (03-83190200).


Pengarang :