Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

MPSJ peruntuk RM60 juta urus sisa pepejal bermula 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperuntukkan sebanyak RM60 juta bagi pengurusan sisa pepejal menjelang tahun 2019.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, kos tersebut meningkat sebanyak RM15 juta setelah MPSJ melantik Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) mengantikan syarikat kontraktor sedia ada yang akan tamat tempoh pada akhir tahun ini.

“Peruntukan yang agak tinggi itu dikeluarkan demi keselesaan penduduk MPSJ, bagi kami ini adalah situasi menang-menang, kutipan cukai tahunan MPSJ adalah sebanyak RM214 juta, jadi kita guna cukai daripada penduduk ini untuk pengurusan sisa pepejal.

“Jadi sudah tentu apa yang rakyat berikan kepada majlis ini dikembalikan semula dalam bentuk perkhidmatan terbaik, semua ini bagi membolehkan kita semua hidup dalam keadaan lebih lestari,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penuh MPSJ di Bangunan MPSJ, hari ini.

Noraini berkata, beliau tidak menafikan ada ahli majlis yang memberikan pelbagai pandangan berhubung kerja pengurusan sisa pepejal diberi kepada KDEB.

“Mereka bukannya tidak bersetuju, tetapi mahu supaya perkhidmatan yang diberikan nanti memuaskan hati semua pihak.

“Bagi MPSJ, kami akan bekerjasama dengan KDEB bagi pengurusan sisa pepejal ini, dan sudah tentu MPSJ tidak lagi perlu memantau 30 syarikat pembersihan sampah yang dilakukan seperti sebelum ini,” katanya.


Pengarang :