NASIONAL

Najib bakal hadapi 21 pertuduhan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal menghadapi 21 pertuduhan membabitkan AS$681 juta (RM2.8 bilion), kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata, sembilan dan lima pertuduhan masing-masing membabitkan penerimaan wang haram dan penggunaan wang haram.

Manakala, katanya, tujuh pertuduhan lagi membabitkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

“Tangkapan dan pertuduhan ini dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Noor Rashid berkata, Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 3 petang ini, untuk proses pertuduhan oleh Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahkan untuk menahan bekas Perdana Menteri itu di perkarangan ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Menara KPJ, di sini, hari ini selepas sahaja mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, Najib dibawa ke ibu pejabat AMLA bagi dirakam percakapannya berhubung siasatan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFA 2001.

Kehadiran Najib ke ibu pejabat itu bertujuan membantu siasatan oleh pihak polis yang bekerjasama dengan pasukan penyiasat SPRM berhubung siasatan kes sama.

 


Pengarang :