NASIONAL

Najib mengaku tidak bersalah 25 pertuduhan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak bersalah atas sabitan 25 pertuduhan, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau juga dituduh atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mendapat rasuah RM2.3 bilion.

Bagaimanapun, Najib, 65, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan pembelaan.

Memetik laporan BERNAMA, berkenaan kes rasuah, Najib turut didakwa untuk mendapatkan suapan sejumlah RM60,629,839.43 dengan mengambil empat tindakan pada 24 Feb 2011 dan 14 Jun 2011, di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan ;

— Pada 1 April 2009, di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya melalui memorandum daripada Menteri Kewangan, Najib mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri supaya Kerajaan Malaysia memberi jaminan kepada Terengganu Investment Authority Berhad (TIA). Jaminan itu bagi membolehkan TIA mendapatkan pinjaman sehingga RM5 bilion daripada pasaran domestik dan luar negara melalui Islamic Medium Term Notes Programme.

— Pada 29 Julai 2009, di tempat sama, Najib pada 3 April 2009 memutuskan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA, sekali gus menyebabkan nama TIA ditukar kepada 1MDB yang menjadikan beliau mempunyai kepentingan secara langsung.

— Pada 26 Sept 2009, Najib mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB yang mengadakan satu Mesyuarat Khas di The Royale Bintang, Damansara, Petaling Jaya, untuk meluluskan satu Resolusi membenarkan 1MDB untuk menyertai satu usahasama bersama PetroSaudi International Limited dengan membuat pelaburan sejumlah RM1 bilion saham biasa dalam syarikat itu pada harga AS$1.00 setiap saham.

— Pada 16 Mei 2011, di Pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Najib turut menyebabkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan satu Circular Resolution yang membenarkan satu pelaburan tambahan sebanyak RM1 bilion (atau dengan nilai yang bersamaan dalam AS$) di bawah Murabaha Financing Agreement bertarikh 31 Mac 2010 dibuat di dalam 1MDB Petro Saudi Limited.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib didakwa antara 31 Okt 2012 dan 20 Nov 2012, di tempat sama, atas jawatan sama menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM90,899,927.28 dengan mengambil dua tindakan:

— Pada 9 Feb 2012, di Pejabat 1MDB, sebagai selaku menteri kewangan turut meluluskan 1MDB iaitu beliau secara langsung mempunyai kepentingan melalui 1MDB Energy Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh 1MDB untuk menawarkan bidaan bagi tujuan cadangan pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd pada harga bidaan sebanyak RM10.6 bilion.

— Pada 10 Ogos 2012, di tempat sama, Najib selaku menteri kewangan meluluskan pengambilalihan ekuiti Syarikat Mastika Lagenda Sdn Bhd dengan harga pembelian agregat sehingga RM2.75 bilion dan selanjutnya meluluskan 1MDB, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan untuk melaksanakan penerbitan 10-Year Structured Loan Note bernilai AS$1.75 bilion.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga, bekas perdana menteri itu didakwa antara 22 Mac 2013 dan 10 April 2013, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan kepada dirinya sendiri berjumlah RM2,081,476,926 melalui dua tindakan:

— Pada 25 Feb 2003, di Pejabat 1MDB, sebagai menteri mewangan turut meluluskan 1MDB, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan untuk memasuki satu perjanjian usahasama dengan Aabar Investment PJS.

— Pada 14 Mac 2013, Najib meluluskan Letter of Support kepada 1MDB Global Investment Limited bagi tujuan sokongan kepada terbitan bon berjumlah AS$3 bilion bagi pihak 1MDB, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia, menteri kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat (1MDB) menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM49,930,985.70 dengan cara mengambil tindakan seperti berikut :

— Pada 20 Ogos di Pejabat 1MDB, dengan kapasitinya selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, Najib mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan 1MDB Energy Holdings Limited untuk membuat pinjaman melalui Term Loan Facility sehingga AS$975,000,000 daripada Deutsche Bank AG bagi tujuan terbitan 1MDB Energy Group IPO, yang mengenainya beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 23 Jun 2014 dan 19 Dis 2014.

Bagi kempat-empat pertuduhan terbabit, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Pengarang :