NASIONAL

Najib selesai beri keterangan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selesai memberikan keterangan selama empat jam berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung dakwaan kemasukan wang lebih RM2 bilion ke akaun peribadi beliau.

Selesai memberi keterangan, Najib meninggalkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Menara KPJ pada jam 1.38 tengah hari tadi sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Najib kemudian tiba di kompleks mahkamah terbabit pada jam 1.48 tengah hari dibarisi peguam yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Najib ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada jam 4.13 petang semalam berhubung dakwaan kemasukan wang lebih RM2 bilion ke akaun peribadinya.

Ahli Parlimen Pekan itu dijangka menghadapi beberapa pertuduhan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

Beliau juga pernah didakwa dengan tujuh pertuduhan jenayah, pada Julai dan Ogos lalu.

Terdahulu, pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Namun, Najib tidak mengaku salah atas pertuduhan menerima wang sama (RM42 juta) hasil aktiviti haram ke dalam dua akaun miliknya, pada 8 Ogos lalu.

Najib dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin sementara menunggu sebutan semula kes dan kesemua tujuh pertuduhan untuk dibicarakan bersama kerana membabitkan saksi serta dokumen sama.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pada 4 Oktober lalu.

– Bernama


Pengarang :