SELANGOR

Nasib penduduk Kampung Melayu Rasa terus dibela

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 29 SEPT: Nasib melanda penduduk Kampung Melayu Rasa, Kuala Kubu Bharu terus diberikan pembelaan selepas lebih 20 tahun menderita akibat projek perumahan mereka terbengkalai.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membantu penduduk kampung berkenaan daripada segi infrastruktur dengan kos membabitkan RM4 juta.

“Untuk menyelesaikan masalah ini, kita telah membuat keputusan untuk memadatkan perumahan mereka di satu zon memandangkan kawasan ini agak luas.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan mendahulukan kepada penduduk yang mempunyai geran dan segala dokumentasi menandakan mereka pemilik rumah ini.

“Namun, sekiranya masih ada yang belum mengemukakan geran diminta melakukannya dengan segera supaya nasib semua terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak Projek Pembesaran Kampung Melayu Rasa, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, di sini, semalam.

Amirudin berkata, memadatkan perumahan itu akan disusun dari semasa ke semasa manakala lebihan daripada tempat itu boleh diserahkan kepada pihak Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) dan pemaju seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sama ada untuk membina kemudahan rumah rakyat.

“Ia amat bagus kerana wujudnya ‘win win situation’ dimana Kerajaan Negeri dapat membantu penduduk yang terbengkalai rumahnya, dan pada masa sama kita dapat siapkan atau membina rumah untuk orang lain duduk atau beli dengan kadar berpatutan,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin optimis supaya penduduk dapat memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu terbabit.

“Berkenaan dengan saiz rumah saya kira penduduk tidak perlu khuatir kerana kita akan mengikut berdasarkan yang sudah diperuntukkan sebelum ini,” katanya.

Difahamkan, lebih 100 tapak perumahan terbengkalai di kampung tersebut dan Kerajaan Negeri hanya menerima 34 dokumentasi menandakan mereka adalah pemilik rumah.

Terdahulu, projek pembesaran kampung itu merupakan dasar kerajaan terdahulu bermula pada tahun 1980 yang mana tanah kerajaan dikenalpasti untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan oleh kontraktor dipilih Kerajaan Negeri.

Terdapat 41 projek dicadangkan dan 15 daripadanya dibatal oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menjadikan 26 projek diluluskan manakala 21 sudah selesai dan lima belum selesai membabitkan salah satunya adalah Projek Pembesaran Kampung Melayu Rasa.


Pengarang :