SUKANKINI

Nazirul tak sabar manfaat ilmu Rossi di Perlis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 SEPT: Nazirul Izzat Bahauddin semakin bersemangat menghadapi perlumbaan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM PETRONAS 2018 di Kangar, Perlis, minggu ini selepas menimba ilmu permotoran di kem Akademi VR46 milik bintang MotoGP, Valentino Rossi.

Pelumba CP115 pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu terpilih ke Itali bersama seorang lagi pelumba muda Yamaha, Md Aiman Tahiruddin dan turut disertai dua pelumba dari Jepun dan Indonesia.

Beliau berkata, banyak ilmu dan perkara baharu dipelajari sepanjang berada di Itali dan berharap dapat meningkatkan prestasi di Perlis minggu ini.

“Peluang bertemu Rossi sendiri yang sempat berkunjung ke kem itu sangat bermakna kerana selain tunjuk ajar jurulatih di akademi VR46, Rossi sempat berkongsi pengalaman dan memberi tunjuk ajar kepada kami.

“Walaupun masih penat dengan jadual latihan dan penerbangan jauh, saya yakin ia tidak menjejaskan prestasi saya nanti,” katanya.

Nazirul kini berada di kedudukan keenam keseluruhan kategori CP115 dengan 51 mata termasuk satu podium di tempat ketiga di Temerloh, Pahang.

Katnya, tempoh rehat sejak tiba di Malaysia, semalam, cukup untuk membantu fizikalnya berada pada tahap terbaik dan tidak bimbang terhadap penyediaan jentera kerana jurutera serta kru pasukan sentiasa melakukan yang terbaik.

Selepas lima pusingan, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) kini mengungguli kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 113 mata diikuti rakan sepasukan, Md Fareez Afeez (73 mata) diekori rapat Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) (71 mata).


Pengarang :