NASIONALPENDIDIKAN

Nilai Islam diperkukuh dalam tadika, bina sahsiah berjiwa murni

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Nilai Islam terus diterapkan dalam rangka pendidikan di tadika sebagai usaha membentuk sahsiah berjiwa murni.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelaksanaan silibus pendidikan yang berbeza di tadika ketika ini lebih terarah kepada kepentingan penguasaan ilmu.

“Bila bercakap mengenai pendidikan, kita tumpukan kepada penguasaan dan pengisian ilmu, namun pendekatan sebegini hanya berguna kalau mereka pandai gunakan apa yang dipelajari.

“Pelajaran Islam umpamanya terhad kepada ibadat tertentu, bukan kepada nilai cara hidup islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab sempena Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018; Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Katanya, penguasaan ilmu semata-mata tidak menepati matlamat untuk melahirkan individu berperibadi murni di samping tumpuan harus diimbangi dengan usaha membentuk kualiti sesuatu masyarakat.

“Apabila kita membesar, ibu bapa ajar mengenai cara hidup, iaitu apa yang baik, buruk, bakal mendapat ganjaran pahala dan sebaliknya untuk menjadi seorang manusia berguna.

“Ibu bapa bekerja, maka masa kualiti untuk ahli keluarga sudah tiada. Oleh itu, mereka tidak dapat meluangkan masa bagi menyemai nilai baik kepada anak-anak.

“Ilmu yang diajarkan di tadika atau sekolah hanya bermanfaat kalau mereka pandai menggunakannya, iaitu menerusi penerapan nilai murni.

“Kalau seorang penyangak, dia guna ilmu untuk mencuri, manakala jika dilatih sebagai orang yang baik, dia guna untuk kebaikan,” katanya.

 


Pengarang :