SELANGOR

Ops Bersepadu banteras pergerakan lori degil

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU LANGAT, 12 SEPT: Isu kacau ganggu lori dipercayai terbabit dalam kegiatan kuari dan projek pembangunan di sekitar kawasan Hulu Langat menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, beberapa isu utama menjadi rungutan awam termasuk penggunaan jalan raya di luar waktu ditetapkan dan keadaan jalan berdebu berpunca daripada pergerakan tanpa henti lori terbabit.

Katanya, lanjutan daripada itu beliau menggesa Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat supaya memperketatkan penguat kuasaan bersama agensi bertanggungjawab dalam Ops Bersepadu bagi mengekang pergerakan lori degil terbabit.

“Saya memandang serius masalah kerana ia membabitkan keselamatan dan keselesaan warga Langat, justeru saya mencadangkan kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) terbabit dalam operasi penguat kuasaan bagi membolehkan mereka menjalankan pemantauan lebih ketat.

“LPKP boleh mengambil tindakan membatalkan permit lori terhadap mana-mana yang masih melanggar peraturan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Edry Faizal berkata, pihaknya dalam proses perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya untuk menaik taraf Jalan Hulu Langat.

Bagaimanapun katanya, berdasaran kertas cadangan itu, kos pelaksanaannya agak tinggi memandangkan agensi berkenaan perlu melakukan pengambilan tanah.

“Kos ini tinggi ekoran kerajaan terdahulu yang tidak meneruskan projek sejauh 17 kilometer tetapi saya akan berbincang dengan menteri berkaitan bagi memastikan ia dapat diteruskan secara berperingkat,” katanya.


Pengarang :