NASIONAL

PAKATAN fokus kempen dorong pengundi laksana tanggungjawab

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 28 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) memfokuskan kempen naratif dengan memberi tumpuan memujuk, mendorong dan mengajak pengundi keluar beramai-ramai mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution berkata, jentera PAKATAN kini sudah siap siaga untuk mencapai tujuan itu.

Katanya, pihaknya akan menonjolkan rekod kecemerlangan perkhidmatan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang 17 tahun perkhidmatan dalam kerajaan.

“Kita akan menceritakan rekod ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, Menteri Pendidikan, Menteri Beliau mahupun Timbalan Perdana Menteri.

“Beliau sebelum ini cukup terkenal dengan memperjuangkan kemiskinan, peniaga dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama, di sini.

Pada masa sama, Saifudin berkata, jentera PAKATAN akan turut memastikan sasaran 70 peratus penduduk keluar mengundi akan direalisasikan.

Katanya, pihaknya akan mengaktifkan ‘Call Centre’ untuk membuat panggilan secara individu selain pertemuan.

“Tugas utama jentera adalah memastikan pertemuan bersemuka dari pintu ke pintu atau mana-mana tempat yang menjadi tumpuan masyarakat.

“Ia juga cabaran untuk memperhebatkan kempen sepanjang PRK ini,” katanya.


Pengarang :