NASIONAL

PAKATAN tak usik hak Melayu, malah terus dipertahan – Anwar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 7 SEPT: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa hak dan kepentingan Melayu serta Islam sentiasa mendapat pembelaan.

Beliau berkata, keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu jelas membuktikan indikator penting bahawa PAKATAN tidak pernah mengusik hak Melayu Bumiputera dan Islam, sebaliknya keistimewaan mereka terus dipertahankan.

“Dalam perlembagaan pun sudah dijamin, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, manakala Islam adalah agama Persekutuan. Itu semua termaktub dalam peruntukan perlembagaan yang tiada siapa mahu batalkan.

“Yang menjaga kepentingan Bumiputera, kepentingan kaum Cina, India, Iban dan Kadazan pula, pendekatannya lain sedikit, tetapi perlu diingatkan kedaulatan Raja-raja Melayu tetap dipertahankan kerana negara kita masih berpandukan kepada perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana bersama Anwar Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, bagi membantu calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Halimey Abu Bakar, di Padang Letak Kereta, Jalan PJU 1A/39, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Kapar, Dato’ Abdullah Sani Abd Hamid; Ahli Parlimen Petaling, Maria Chin Abdullah; Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan beberapa pimpinan politik lain.

Pada masa sama, Anwar menyifatkan isu terbabit menjadi polemik berlarutan sebelum dan selepas PRU14 lalu, walaupun ia sering diperjelaskan sebagai perkara asas mengikut perlembagaan.

Katanya, pihak pembangkang sekadar tahu menggunakan isu itu sebagai alat dan senjata menakutkan orang Melayu, tetapi tidak berhasil memandangkan rakyat sudah bosan dengan taktik berkenaan.

“Hal ini saya jelaskan kerana hak keistimewaan terus dibangkitkan dalam kempen. Mereka boleh cakap apa yang mereka nak cakap, tetapi janganlah anggap rakyat ini bodoh sangat!,”

“Yang rompak-rompak itu tidak nampak ke ? Kalau pilih pemimpin perompak, kita tak akan selamat. Jadi, saya mahu membawa mesej untuk tidak bersama perompak dan memastikan wang serta khazanah negara dipertahankan demi kepentingan rakyat.

“Justeru, mewakili semangat PAKATAN, buatlah keputusan bijak pada 8 September ini dan terus memberi sokongan padu kepada calon kita,” katanya.


Pengarang :