SELANGORYB ACTIVITIES

Pameran Kampung Tunku platform kenali sejarah

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 23 SEPT: Pameran Kampung Tunku Kampung Ku yang diadakan sempena Hari Malaysia menjadi platform memperkenalkan budaya dan sejarah kampung terbabit.

Ahli Dewan Negeri (ADN), Lim Yi Wei berkata, kampung berkenaan mempunyai populasi kira-kira 50,000 penduduk dan merupakan antara kampung tertua di negeri itu.

Katanya, pihaknya membawa beberapa gambar menarik Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku dan kisah Kapitan China, Yap Ah Loy.

“Kami juga menunjukkan beberapa video tempat-tempat menarik, penduduk, kisah-kisah sejarah dan restoren di dalam kawasan Kampung Tunku.

“Kejiranan itu juga menempatkan beberapa keperibadian yang menarik seperti keturunan Yap Ah Loy dan Mayawati Usman, anak sulung Usman Awang,” katanya kepada SelangorKini.

Yi Wei berkata, pameran itu juga menjadi platform bagi penduduk tempatan untuk mengenali jiran-jiran mereka.

“Saya mahu menjadikannya masyarakat yang bertenaga dan tersendiri, serta menjadikan Hari Malaysia relevan kepada mereka yang tinggal di kawasan itu.

“Kadang-kadang orang mengelirukan Bukit Tunku dengan Kampung Tunku. Adalah penting untuk memulihkan identiti kampung ini,” katanya.

Sebanyak 33 potret yang dihasilkan daripada bahan makanan antaranya nasi lemak, nasi kerabu, capati, roti canai dan kuih-kuih tradisional seperti onde-onde dan pulut tai-tai.

Turut disediakan, penjualan makanan tempatan seperti laksa Pulau Pinang dan Johor, dan kuih Melayu yang dibuat oleh kumpulan perusahaan sosial yang dikendalikan oleh wanita tunggal.

Persembahan tarian dari SK Kampung Tunku, Pawana Tari Troup tarian singa oleh Persatuan Tarian Naga dan Singa Khuan Loke.

Acara itu berlangsung dari 11 pagi hingga 3 petang di Dewan Serbaguna MBPJ SS3 / 14, Petaling Jaya.

 


Pengarang :