SELANGOR

Pantai Batu Laut dikaji sebagai Pusat Pelayaran berprestij

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri akan menilai dan mengkaji keperluan untuk menjadikan pusat latihan di Batu Laut dijadikan sebagai Pusat Pelayaran yang lebih baik dan berprestij tinggi pada masa akan datang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana pusat latihan itu berjaya melahirkan banyak atlet pelayaran yang bertaraf antarabangsa dan sering menganjurkan kejohanan saban tahun di peringkat negeri dan antarabangsa.

Katanya, Kerajaan Negeri juga melihat sumbangan besar komuniti Sukan Perahu Layar ini berjaya meningkatkan sosioekonomi setempat dan berpotensi menjadi salah satu pusat pelancongan.

“Pusat Latihan Pelayaran Batu Laut diwujudkan sejak 2000 lagi. Pusat ini menjalani beberapa kali proses naiktaraf dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri selaras dengan kehendak semasa.

“Proses naiktaraf termasuklah membina Ramp pada 2004 dan memanjangkan Ramp pada 2006.

“Seterusnya, menaiktaraf pejabat dan penginapan atlet pada 2010 dan yang terbaru menaiktaraf Pejabat dan Stor penyimpanan Bot pada 2016 dengan peruntukan sebanyak RM200,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah membangkitkan pertanyaan mengenai Sukan Perahu Layar serta cadangan untuk mendirikan Kompleks Sukan Perahu Layar.

 


Pengarang :