PBTSELANGOR

Pantai Cunang contoh pantai terbaik dijaga komuniti setempat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 22 SEPT: Pantai Cunang adalah antara pantai contoh yang dijaga dengan baik oleh penduduk tempatan, kata Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid.

Katanya, sehingga kini hampir 75 peratus kerja pembersihan pantai dilakukan oleh orang asal dari Tanjung Sepat.

“Hasilnya kini dapat dilihat Pantai Cunang berada dalam keadaan bersih dan itulah contoh yang kita mahu tonjolkan kepada masyarakat lain, apabila sesebuah masyarakat mempunyai rasa kepunyaan terhadap alam sekitarnya, sekali gus ia dapat dijaga dengan rapi.

“Oleh itu, saya turut berharap supaya orang ramai sentiasa menanamkan rasa seperti itu dalam diri apabila berkunjung ke pantai-pantai di seluruh Daerah Kuala Langat,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Pembersihan Pantai Peringkat Negeri Selangor di Dataran Pantai Morib, hari ini.

Hadir sama Puteri Sultan Selangor, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian.

Pantai Cunang yang terletak dalam kawasan Tanjung Sepat pernah dinobatkan sebagai Johan Pantai Angkat Terbaik 2015 peringkat Selangor.

Pantai itu juga dinaik taraf berikutan sebelum ini dipenuhi dengan pokok rhu dan pokok bakau sahaja di sekitarnya.

Seperti Tadom Hill, Pantai Cunang dibangunkan penduduk asal Selangor iaitu kaum orang asal Mah Meri.

Pada asalnya, kawasan pantai itu adalah salah satu tempat tempat persinggahan bagi kaum Mah Meri berehat sebelum turun ke laut mencari rezeki.


Pengarang :