SASTERA

Paradoks Kebodohan

Manusia menggunakan kepintaran

untuk mencipta kebodohan.

(i)

Kebodohan katamu,

adalah sampan yang kaucuri

dari penambang niat paling suci

Ini paradoks yang berjuta kali cuba kufahami

yang membinasakan dunia bukanlah kezaliman

tetapi kebodohan

barangkali si bodoh yang harus diperangi dahulu

sedang si pintar sering bersembunyi

dan mengubah prinsip diri.

 

Bukankah aneh,kataku

Kebodohan tak bisa dihukum dengan kematian

ilmu yang tinggi hanya memperteguhkannya

tetapi katamu,

musuh kepada ilmu bukan si dungu

tetapi keyakinan palsu

Apakah benar kau si dungu

Sedang kau dapat menjawab semua soalan yang diaju?

 

Perang paradoks ini takkan kita menangi

kepintaran adalah kapal cantik yang tergeletak

tidak membelah laut bergolak.

 

Raihani Mohd Saaid

 Shah Alam


Pengarang :