SELANGOR

PAS Seri Setia sendiri ‘seram’ reputasi Halimey

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 SEPT: Reputasi calon Pakatan Harapan (PAKATAN) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar menyebabkan tiada calon PAS dalam kalangan anak jati mahu bertanding pada bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, beliau diberitahu PAS Seri Setia sendiri merasa ‘seram’ dengan rekod cemerlang Halimey sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya sehingga memaksa PAS ‘mengimport’ calon luar bagi menentang Halimey.

“Saya diberitahu Dato’ Bandar Petaling Jaya, rekod Halimey di Seri Setia memang hebat sehinggakan beliau diberitahu Yang Dipertua PAS pun tak sanggup lawan Halimey.

“Dia kata, kalau Halimey bertanding, mereka tak sanggup nak lawan sebab semua orang kenal Halimey,” katanya pada program ceramah ‘Grand Finale’ di sini, hari ini.

Azmizam turut menggesa penyokong PAKATAN tidak mengulangi kesilapan pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini di mana peratusan keluar mengundi terlalu rendah.

Beliau yang ketika itu bertanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah PRK Sungai Kandis berkata, kebanyakkan penyokong PAKATAN yang ditemui pada masa itu menyatakan keyakinan PAKATAN akan menang mudah.

“Rata-rata rakan ditemui berkata tak payah mengundi kerana mereka yakin PAKATAN akan menang sehinggakan pada pagi itu saya berdebar kerana baru 15 peratus turun mengundi,” katanya lagi.


Pengarang :